Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pejalan kaki M’sia cedera parah dilanggar kereta S’pura di Koswe

Jan 14, 2025 | 12:16 PM
Kereta yang terlibat dalam kemalangan di Koswe pada petang 12 Januari menyebabkan seorang pejalan kaki warga Malaysia cedera parah. Penumpang kereta pula cedera pada lengan kirinya.
Kereta yang terlibat dalam kemalangan di Koswe pada petang 12 Januari menyebabkan seorang pejalan kaki warga Malaysia cedera parah. Penumpang kereta pula cedera pada lengan kirinya. - Foto FACEBOOK SAM.CHONG.37

Seorang lelaki warga Malaysia yang sedang melintas Tambak Johor (Koswe) pada 12 Januari telah dimasukkan ke hospital dengan kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta berdaftar Singapura, menurut polis Malaysia pada 13 Januari.

Pemandu warga Singapura itu hilang kawalan kenderaan dalam cuaca hujan, menyebabkan kereta itu tergelincir dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh pejalan kaki tersebut, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Encik Raub Selamat.

Kejadian berlaku pada 5.38 petang pada 12 Januari, ketika mangsa kemalangan, yang hanya dikenali sebagai Encik Tan, sedang berjalan pulang ke Johor Bahru dari Singapura.

Video pandangan dari udara kejadian itu telah dimuat naik dalam talian. Ia menunjukkan sebuah kenderaan berwarna cerah sedang memandu ke arah Malaysia di Koswe sebelum tergelincir dan bahagian tepi kereta melanggar seorang individu berpakaian hitam, lapor The Straits Times (ST).

Orang ramai turut berkongsi gambar dalam talian yang menunjukkan lelaki itu dalam keadaan cedera dan terbaring di atas jalan sebelum dikejarkan ke hospital.

Menurut Penolong Pesuruhjaya (AC) Raub, pejalan kaki tersebut mengalami kecederaan serius dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

AC Raub menambah bahawa seorang lagi individu dalam kereta itu, juga warga Singapura, mengalami kecederaan pada lengan kirinya. 

Kedua-dua warga Singapura tersebut berusia dalam lingkungan 20-an tahun dan pemandu kereta berkenaan sedang membantu siasatan.

Sebuah lagi video yang dikongsi oleh seorang pemandu yang melintasi Koswe sekitar 6.30 petang pada 12 Januari menunjukkan kereta berwarna cerah dengan bampar depannya remuk, serta dua lelaki – salah seorang dengan lengannya berbalut – sedang berdiri di tepi kenderaan itu.

Singapura kini sedang mengalami tempoh cuaca hujan lebat berterusan dek lonjakan monsun, iaitu peningkatan mendadak kelajuan angin yang menyebabkan udara sejuk bergerak ke selatan di Laut China Selatan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 10 Januari mengeluarkan amaran tentang hujan lebat berterusan pada tahap bahaya di Johor.

Kes ini sedang disiasat atas tuduhan kegagalan mengawal kenderaan dengan baik, kata AC Raub, sambil menasihati pemandu agar lebih berhati-hati ketika memandu dalam cuaca buruk.

Beliau juga menyeru saksi kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian +607-218-2222.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg