PETALING JAYA: Hujan lebat yang berterusan dijangka menjejas beberapa negeri di Malaysia untuk tempoh tiga hari bermula 15 Januari, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) .
Dalam satu kenyataan pada 12 Januari, jabatan itu menyatakan bahawa hujan lebat turun akibat lonjakan monsun yang dijangka menjejas negara itu mulai 15 Januari hingga 18 Januari.
Ia berkata hujan lebat dijadualkan menjejas beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, di selatan dan barat Sarawak serta Sabah semasa tempoh ini.
“Analisis model ramalan cuaca terkini menunjukkan lonjakan monsun dijangka berlaku dari 15 hingga 18 Januari, yang boleh menyebabkan hujan lebat dan berterusan di beberapa kawasan di seluruh negara.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk laman web MetMalaysia dan saluran media sosial rasminya, serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk sebarang maklumat terkini dan tepat,” katanya.
Dalam kenyataan awal pada 10 Januari, MetMalaysia berkata hujan lebat berterusan pada tahap bahaya dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor.
Sementara itu, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 3,449 penduduk daripada 1,023 keluarga yang ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas, setakat 8 pagi pada 12 Januari.
Ia berbanding sejumlah 2,524 penduduk daripada 722 keluarga yang ditempatkan di 33 PPS di lima daerah terjejas, pada 11 Januari.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata walaupun hujan lebat lebih 24 jam pada 10 Januari sudah mulai reda pada malam 11 Januari, namun ramalan hujan lebat dijangka melanda enam daerah, pada pagi 12 Januari.
Beliau berkata enam daerah itu membabitkan Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat, Segamat, Pontian dan Mersing dengan cuaca mendung di Johor Bahru, Muar, Kluang dan Tangkak.
Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir meningkat kepada 1,160 penduduk daripada 368 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.
“Kulai menyusul rapat apabila mangsa banjirnya bertambah kepada 748 penduduk daripada 167 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, pagi ini (12 Januari).
“Lonjakan mangsa banjir paling signifikan direkodkan Johor Bahru apabila ia bertambah hampir lima kali ganda kepada 605 penduduk daripada 206 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.
“Mangsa banjir di Kluang turut melonjak kepada 506 penduduk daripada 148 keluarga di lima PPS pagi ini.
“Di Pontian, jumlah mangsa banjir turut melonjak dua kali ganda kepada 430 penduduk daripada 114 keluarga di lapan PPS, pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor memaklumkan tiga sungai masih merekodkan paras bahaya di negeri tersebut.
Katanya, ia membabitkan Sungai Lenik, Batu Pahat; Sungai Kahang, Kluang dan Sungai Sayong di Kampung Siam , Kulai.
“Empat sungai turut berada pada paras amaran membabitkan Sungai Skudai, Kampung Pasir, Johor Bahru; Sungai Punggai dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi selain Sungai Jemaluang, Mersing.
“Manakala lima lagi sungai berada pada paras waspada membabitkan Sungai Pontian Besar, Kulai; Sungai Skudai di Kampung Laut dan Sungai Tiram di Johor Bahru; Sungai Johor, Kota Tinggi selain Sungai Tenglu Kecil, Mersing,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg