PAS pekerjaan seorang individu telah dibatalkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) selepas pekerja itu didapati melanggar langkah pemutus litar jangkitan, kata kementerian itu dalam kenyataannya hari ini.
Pekerja itu juga telah dilarang bekerja di Singapura buat selama-lamanya.
Menurut MOM, siasatan menunjukkan pekerja itu, yang bertugas dalam sebuah firma perkhidmatan penting, telah makan malam selepas habis bekerja pada 9 April. Namun, dia berlengah-lengah di beberapa tempat bagi tempoh lebih lama sebelum akhirnya pulang ke kediamannya kelmarin.
"Ini adalah secara terang-terangan pelanggaran langkah pemutus litar jangkitan," kata MOM.
Pegawai daripada pelbagai agensi pemerintah, termasuk MOM, Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) dan Lembaga Taman Negara (NParks), telah mengeluarkan sebanyak 39 saman kepada pemegang pas pekerjaan yang didapati melanggar langkah pemutus litar jangkitan dalam tempoh tiga hari, 10 hingga 12 April.
"Individu ini didapati telah berkumpul beramai-ramai, terlibat dalam senaman berkumpulan atau menyertai kegiatan rekreasi seperti frisbee atau bola sepak dengan individu yang tidak tinggal dalam rumah yang sama.
"Jika didapati melanggar langkah pemutus rantaian jangkitan buat kali kedua, MOM tidak akan teragak-agak membatalkan pas pekerjaan individu tersebut dan juga pas anggota keluarga yang bergantung pada mereka," kata MOM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg