Pemerintah telah mengingatkan semua syarikat platform untuk mengutamakan keselamatan pekerja dan memastikan pekerja platform tidak dikenakan tindakan atau penalti jika lambat dalam menyelesaikan tugas mereka dengan keadaan jerebu yang sedang melanda Singapura.

Ini termasuk tidak mengenakan penalti melalui skim insentif, pengurangan agihan tugas atau pemotongan gaji, kata Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau, dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Akhbar Nasional pada 16 Oktober.

Sidang media itu, yang memberi kemas kini tentang keadaan jerebu di negara ini, turut disertai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; dan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

“Syarikat platform kini mempunyai tanggungjawab keselamatan dan kesihatan bagi pekerja mereka di bawah Akta Pekerja Platform.

“Kami telah mengingatkan semua syarikat platform untuk menasihatkan pekerja mereka untuk melindungi diri mereka sendiri, dan untuk memastikan pekerja tidak dikenakan penalti kerana mengambil masa lebih lama untuk menyelesaikan tugas semasa tempoh ini,” ujar Cik Lau.

Beliau mengalu-alukan langkah proaktif yang telah pun diambil beberapa syarikat platform, seperti Grab dan foodpanda yang bekerjasama dengan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) untuk mengagihkan pelitup N95 kepada anggota mereka, sambil berharap lebih banyak syarikat akan melakukan perkara sama.

Pekerja yang prihatin tentang keselamatan dan kesihatan mereka dengan keadaan jerebu harus mengemukakan kebimbangan mereka kepada majikan, kata Cik Lau.

Mereka juga boleh melaporkan keprihatinan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi langkah susulan menggunakan platform laporan ‘SnapSAFE’.

Sementara itu, Cik Lau berkata MOM telah menjalankan lebih 400 pemeriksaan di tapak kerja sejak September lalu, dan “kebanyakan majikan telah melakukan perkara yang betul” dalam melindungi pekerja mereka daripada kesan jerebu.

Namun, sekitar 25 peratus daripada syarikat tidak memenuhi piawaian dan telah diarahkan untuk memperbetulkan keadaan.

“Kebanyakan majikan telah melakukan perkara yang betul dengan rancangan pengurusan jerebu, pelitup N95, dan kemas kini yang kerap diberikan kepada pekerja.

“Bagi tapak kerja yang tidak memenuhi piawaian, kami telah mengarahkan mereka untuk memperbetulkan keadaan, dan kami akan menjalankan pemeriksaan sekali lagi.

“Kami akan terus melakukan pemeriksaan selagi jerebu berterusan,” kata beliau.