Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja sosial kini tangani kes kian kompleks, rumit

Pave kendali kes lebih kompleks libatkan anggota keluarga berbeza dalam keluarga yang sama, di mana keganasan suami isteri, penderaan kanak-kanak berlaku
Nov 14, 2025 | 12:24 PM
Meskipun jumlah kes yang ditangani kekal stabil selama bertahun-tahun, namun kerumitan kes pekerja sosial telah meningkat.
Meskipun jumlah kes yang ditangani kekal stabil selama bertahun-tahun, namun kerumitan kes pekerja sosial telah meningkat. - Foto fail

Adalah sukar menentukan jumlah kes yang boleh ditangani pekerja sosial kerana ia bergantung kepada risiko dan kerumitan setiap kes, kongsi beberapa pekerja sosial yang dihubungi Berita Harian (BH).

Di Pave, pusat perkhidmatan bersepadu bagi keganasan keluarga, perlindungan kanak-kanak dan penderaan seksual, yang juga Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak (CPSC), seorang pekerja sosial menangani antara 25 dengan 30 kes pada bila-bila masa.

Meskipun jumlah kes yang ditangani kekal stabil selama bertahun-tahun, namun kerumitan kes telah meningkat, kata Pekerja Sosial Kanan, Cik Adisti Jalani, yang bekerja dengan kanak-kanak dan golongan dewasa, termasuk golongan dewasa yang terdedah.

“Pave mengendalikan kes yang lebih kompleks melibatkan anggota keluarga berbeza dalam keluarga yang sama, di mana keganasan suami isteri berlaku bersama penderaan kanak-kanak dan/atau kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan.

“Jumlahnya kekal stabil selama bertahun-tahun tetapi kes kami telah menjadi lebih kompleks.

“Sesetengah keluarga juga mengalami bukan sahaja keganasan, tetapi juga masalah kesihatan mental dan penggunaan bahan atau ketagihan,” kata Cik Adisti.

Semasa sidang Parlimen pada 5 November, Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee berkongsi bagi sektor perkhidmatan sosial yang lebih luas, jumlah kes purata yang ditangani adalah stabil pada sekitar 18 hingga 21 kes bagi setiap pekerja.

Namun, Encik Lee berkata jumlah ini boleh menjangkau antara 12 dengan 30 kes bagi setiap pekerja, bergantung kepada pusat.

Kaunselor Utama Hab Perkahwinan AMP, Encik Shaikh Loqman Shaikh Hasan berkata jumlah kes yang dikendalikan oleh setiap pekerja sosial di AMP berbeza bergantung pada keperluan program dan klien.

Beliau menjelaskan bahawa di bawah Kod Amalan Kerja Sosial yang digunakan oleh pusat khidmat keluarga di Singapura, kes dikategorikan daripada risiko rendah hingga tinggi.

Pekerja sosial yang mengendalikan kes kompleks seperti perlindungan kanak-kanak atau keganasan rumah tangga mungkin hanya mampu menguruskan jumlah kes aktif yang jauh lebih sedikit berbanding mereka yang mengendalikan kes berisiko rendah.

“Yang lebih penting bukan jumlah kes semata-mata, tetapi tahap intensiti dan intervensi yang diperlukan bagi setiap kes,” tegasnya.

Antara cabaran yang dihadapi pekerja sosial adalah memastikan keperluan segera klien dipenuhi.

Ini termasuk menguruskan keperluan perubatan dengan segera atau tempat berteduh dan bantuan kewangan, kata Cik Adisti.

Hal ini penting kerana keutamaan Pave adalah untuk menangani risiko keganasan dan mengutamakan kesejahteraan kanak-kanak serta keluarga pada setiap masa.

Di AMP pula, antara tantangan yang mereka hadapi termasuk beban kerja pentadbiran yang berat dan tempoh akhir yang ketat selain daripada kekurangan tenaga profesional dalam perkhidmatan sosial.

“Sektor ini berdepan kekurangan tenaga profesional dalam perkhidmatan sosial.

“Walaupun bilangan pekerja telah meningkat, ramai lagi diperlukan dalam tahun-tahun akan datang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan sosial,” kongsi Encik Shaikh Loqman.

Justeru, apabila berdepan dengan jumlah kes yang tinggi serta beban kerja pentadbiran yang berat, pekerja sosial boleh menghadapi keletihan yang melampau dan kelesuan belas kasihan.

Selain itu, apabila jumlah kes terlalu tinggi, Encik Shaikh Loqman menambah pekerja sosial mempunyai masa dan tenaga yang terhad untuk berinteraksi secara mendalam bersama para klien.

“Ini menjejas kualiti penilaian dan susulan, serta boleh membawa kepada keletihan dan kadar pertukaran staf yang tinggi,” ujarnya.

Apa yang dapat membantu meringankan beban pekerja sosial di Pave ialah sokongan dan penyeliaan yang kuat, kata Cik Adisti.

Memberi perincian lebih lanjut beliau berkata semua pekerja, daripada yang tidak berpengalaman kepada yang paling berpengalaman, akan diawasi dengan rapat agar mereka tidak rasa terlalu terterkan.

“Semua tahu mereka boleh merujuk kepada orang lain, penyelia atau ketua kumpulan, sekadar untuk membantu memahami emosi daripada menangani kes yang amat rumit.

“Ia dapat membantu apabila pekerja disokong kerana mereka mendapat jaminan bahawa mereka tidak keseorangan dalam mengatasi situasi yang mencabar,” kata Cik Adisti.

“Pave mengendalikan kes yang lebih kompleks melibatkan anggota keluarga berbeza dalam keluarga yang sama, di mana keganasan suami isteri berlaku bersama penderaan kanak-kanak dan/atau kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan. Jumlahnya kekal stabil selama bertahun-tahun tetapi kes kami telah menjadi lebih kompleks. Sesetengah keluarga juga mengalami bukan sahaja keganasan, tetapi juga masalah kesihatan mental dan penggunaan bahan atau ketagihan.”
Pekerja Sosial Kanan, Cik Adisti Jalani. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg