Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelabuhan S’pura cipta rekod baru untuk ketibaan kapal, kontena

Kerja-kerja penambakan untuk fasa kedua pelabuhan mega Tuas pula sudah siap 75%
Jan 15, 2025 | 8:27 PM
Pada 2024, pelabuhan Singapura juga mengendalikan paras tertinggi sepanjang masa iaitu 41.12 juta kontena perkapalan, atau unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), menurut angka daripada Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Pada 2024, pelabuhan Singapura juga mengendalikan paras tertinggi sepanjang masa iaitu 41.12 juta kontena perkapalan, atau unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), menurut angka daripada Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA). - Foto ST

Pelabuhan Singapura mencatat rekod baru 3.11 bilion tan kasar dalam trafik ketibaan kapal pada 2024, satu peningkatan berbanding paras tertinggi sebelumnya iaitu 3.09 bilion tan kasar pada 2023.

Pelabuhan Singapura juga mengendalikan 41.12 juta kontena 20 kaki (TEU) pada 2024, menurut perangkaan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), lapor The Straits Times.

Rekod 2024 mengatasi rekod 39.01 juta TEU pada 2023.

MPA mengeluarkan perangkaan itu pada acara di Yayasan Maritim Singapura (SMF), acara perusahaan maritim tahunan.

Pelabuhan Singapura, pelabuhan kontena kedua tersibuk di dunia selepas Shanghai, juga mencapai rekod baru dalam beberapa kategori lain, termasuk penjualan bahan api bunker dan campuran bahan api bio.

Sementara itu, kerja-kerja penambakan untuk fasa kedua pelabuhan mega Tuas sudah siap kira-kira 75 peratus, dengan 11 daripada dermaga kapalnya kini sudah beroperasi, kata MPA.

Tujuh lagi sandaran kapal akan mula beroperasi pada 2027.

Pelabuhan Tuas sedang dibangunkan dalam empat fasa dan akan menjadi terminal automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia apabila siap pada 2040-an.

Menjelang 2027, operasi di terminal Tanjong Pagar, Keppel dan Brani akan dipindahkan ke pelabuhan mega bernilai $20 bilion itu.

Terminal Pasir Panjang akan terus dibuka sehingga operasinya turut disatukan di Tuas menjelang 2040-an.

Antara rekod baru lain yang dicatat ialah 54.92 juta tan dalam jumlah jualan bunker yang didaftarkan pada 2024 – peningkatan 6 peratus berbanding 51.82 juta tan pada 2023.

Bunkering ialah proses membekalkan bahan api kepada kapal.

MPA berkata peningkatan itu sebahagiannya disebabkan laluan perkapalan yang dilanjutkan antara Asia dengan Eropah yang berpunca daripada gangguan di Laut Merah, yang terletak di antara Asia dengan Afrika.

Ia berkata Singapura membuat “kemajuan yang mantap” sebagai pelabuhan bunker terbesar di dunia, kerana ia membekalkan lebih seperenam jumlah bahan api yang digunakan oleh perkapalan global pada 2024.

Pihak berkuasa berkata ia telah bekerjasama dengan pengendali pelabuhan PSA Singapura dan kesatuan sekerja untuk menangani isu Laut Merah dengan menugaskan tempat dermaga kapal baru di Pelabuhan Tuas, dan mengaktifkan semula dermaga kapal dan ruang dermaga di Keppel Terminal.

Mereka juga meningkatkan kapasiti tenaga kerja, bekerja dengan talian perkapalan dan pengantara untuk mengoptimumkan jadual operasi, dan membenarkan operasi tunda malam buat kali pertama untuk tongkang kontena ke dan dari Terminal Pasir Panjang.

Kapal-kapal telah mengambil laluan yang lebih panjang di sekitar Afrika untuk mengelakkan serangan daripada pemberontak Houthi di Laut Merah sejak November 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg