Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelabuhan S’pura kendali rekod 40j kontena pada 2024

Pecah rekod dicatat sebelum ini pada 2023 iaitu 38.8 juta kontena 20 kaki (TEU); papar perkembangan dan kecemerlangan operasi PSA
Dec 27, 2024 | 7:21 PM
(Dari kiri) Presiden, Kesatuan Pekerja Pelabuhan Singapura, Encik Arasu Duraisamy; Setiausaha Eksekutif, Kesatuan Pekerja Pelabuhan Singapura, Cik Jessie Yeo; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PSA International, Encik Ong Kim Pong; Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia Tenggara, PSA International, Encik Nelson Quek; dan Setiausaha Agung Kesatuan Pegawai Pelabuhan, Encik Benson Low, meraikan pencapaian 40 juta kontena 20 kaki (TEU).
(Dari kiri) Presiden, Kesatuan Pekerja Pelabuhan Singapura, Encik Arasu Duraisamy; Setiausaha Eksekutif, Kesatuan Pekerja Pelabuhan Singapura, Cik Jessie Yeo; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PSA International, Encik Ong Kim Pong; Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia Tenggara, PSA International, Encik Nelson Quek; dan Setiausaha Agung Kesatuan Pegawai Pelabuhan, Encik Benson Low, meraikan pencapaian 40 juta kontena 20 kaki (TEU). - Foto PSA

Jumlah keseluruhan kontena 20 kaki (TEU) dikendali di Pelabuhan Singapura telah mencapai rekod tertinggi yang baru setelah PSA mengendalikan lebih 40 juta TEU setakat 24 Disember 2024.

Dalam satu kenyataan pada 27 Disember, PSA menyatakan jumlah bagi 2024 memecah rekod yang dicatatkan sebelum ini pada 2023 iaitu 38.8 juta TEU, sekali gus memaparkan perkembangan berterusan dan kecemerlangan operasi syarikat itu.

Ia menambah, sebagai hab pemindahan penghantaran terbesar di dunia, PSA mengukuhkan kedudukannya sebagai gerbang utama yang menghubungkan ekonomi Singapura ke pasaran sejagat.

Mengulas mengenai pencapaian tersebut melalui satu hantaran di Facebook pada 27 Disember, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata jumlah TEU bagi Pelabuhan Singapura secara keseluruhan – termasuk Pelabuhan Jurong yang dikendali Jurong Port Pte Ltd – mengatasi rekod 39.01 juta TEU pada 2023.

Beliau menambah Singapura juga berada di landasan yang baik untuk mencatat rekod baru bagi jualan minyak bunker dan daya pengeluaran keseluruhan kargo pada 2024.

Menurut laman web Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), bunkering adalah proses membekalkan bahan api kepada kapal bagi penggunaan kapal itu sendiri.

Singapura merupakan salah sebuah pelabuhan bunker terbesar dan paling penting di dunia.

Encik Chee menjelaskan: “Pencapaian ini adalah hasil daripada perkongsian tiga pihak yang kukuh dan pendekatan mesra perniagaan bagi sektor maritim Singapura, dengan semua pihak berkepentingan bekerjasama rapat untuk memastikan pelabuhan kita beroperasi dan menghubungkan ekonomi Singapura kepada pelanggan dan pembekal dari seluruh dunia.”

Sehubungan itu, PSA menyatakan pencapaian itu didorong oleh komitmen teguh “demi memastikan aliran kargo yang berdaya tahan, cekap dan mampan”.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PSA International, Encik Ong Kim Pong, berkata:

“Rekod daya pengeluaran bagi terminal utama PSA Singapura merupakan satu pencapaian penting dan menunjukkan komitmen kami dalam memastikan perdagangan sejagat sentiasa kekal berterusan.

“Justeru daripada rentak positif ini, kami akan berusaha untuk mengukuhkan sinergi antara operasi pelabuhan dengan perkhidmatan bersangkutan pelabuhan, menghubungkan nod strategik kami bagi mewujudkan ekosistem pelabuhan yang lebih kukuh dan bersepadu, selaras dengan strategi PSA.”

Jumlah TEU dijangka terus meningkat di Singapura dengan pembinaan Hab Rantaian Bekalan PSA di Pelabuhan Tuas – yang bakal siap sepenuhnya pada 2040-an.

Semasa berucap di majlis pecah tanah hab rantaian itu pada Oktober, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Pelabuhan Tuas akan menjadi pelabuhan automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia dan mampu mengendalikan 65 juta TEU apabila siap kelak.

Hab baru itu akan mempunyai kemudahan bagi mengendalikan barangan berbahaya, serta barangan yang memerlukan penyimpanan sejuk.

Ini akan membolehkannya memproses kargo bernilai lebih tinggi, seperti farmaseutikal dan bahan kimia yang memerlukan pengendalian khas.

Pencapaian ini adalah hasil daripada perkongsian tiga pihak yang kukuh dan pendekatan mesra perniagaan bagi sektor maritim Singapura, dengan semua pihak berkepentingan bekerjasama rapat untuk memastikan pelabuhan kita beroperasi dan menghubungkan ekonomi Singapura kepada pelanggan dan pembekal dari seluruh dunia.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg