Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Pelajar 11 tahun maut akibat cedera kepala dek terjatuh

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar 11 tahun maut akibat cedera kepala dek terjatuh

Apr 12, 2024 | 05:31 PM



Ibarat ‘penggera’ mengejutkan orang daripada buaian lena dan berhati nurani.

Itulah antara sahsiah Nureen Fateha Md Zulhaidi, 11 tahun, yang dikongsi ibu dan ayahnya, Cik Norsahida Mohamed Amin dan Encik Md Zulhaidi Hassan.

Namun, itu semua kini tinggal kenangan kerana murid Sekolah Rendah Endeavour itu meninggal dunia pada 6 Mac disebabkan pendarahan dalaman pada kepalanya selepas terjatuh.

Sijil kematian Allahyarhamha yang dilihat Berita Harian mengatakan dia meninggal dunia akibat kecederaan kepala.


Menurut Cik Norsahida, kejadian itu berlaku pada 5 Mac di apartmen eksekutif mereka di Admiralty tatkala beliau dan suaminya tiada di rumah kerana bekerja, dan orang dewasa yang ada hanya pembantu rumah mereka.

Pekerja pentadbir itu, yang dihubungi melalui telefon, berkata apabila beliau pulang ke rumah, anaknya itu mengadu kepalanya sakit.

“Saya diberitahu oleh pembantu rumah arwah bermain kejar-kejar di ruang tamu dengan adiknya apabila dia tersandung permaidani. Apabila dia jatuh, kepalanya terkena lantai dahulu.

“Selepas itu saya ada beri ubat tahan sakit tetapi dia muntahkan kembali. Apabila saya ingin bawanya ke doktor, dia kata dia ingin rehat di rumah saja,” ujar Cik Norsahida, 36 tahun.

Keadaan Allahyarhamha bertambah tenat lewat malam itu apabila mulutnya mula berbuih dan dia sukar bernafas.

Encik Md Zulhaidi, 42 tahun, berkata mereka menghubungi ambulans sekitar 12 malam dan Allahyarhamha dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat, tetapi menghembuskan nafasnya yang terakhir kemudiannya.

“Doktor berkata dia mengalami 80 peratus pendarahan dalaman dan mereka cuba bersihkan darah beku. Tetapi apakan daya, Allah lebih sayangkan dia.

“Inilah saya nak kata, kalau budak-budak jatuh di rumah, jangan tunggu. Pergi ke hospital atau doktor terdekat supaya mereka diperiksa,” ujarnya.

Bercerita mengenai sifat Allahyarhamha, Cik Norsahida berkata anak sulung daripada tiga adik-beradik itu sering mengejutkan keluarganya supaya sembahyang subuh sejak mereka pulang daripada menunaikan umrah pada Januari.

“Sejak pulang daripada umrah, arwah selalu kejutkan saya dan ayahnya setiap pagi untuk solat subuh.

“Bahkan, ketika kami lakukan umrah dialah jam loceng kami. Pukul 3.30 pagi dia sudah siap siaga kerana dia takut terlambat.

“Apabila pulang ke Singapura, dia ada kata ketika mengejutkan saya, ‘Bangun mummy, jangan kata saya tak kejutkan mummy’.”


Encik Md Zulhaidi berkata Allahyarhamha gemar melukis dan sejak kebelakangan ini pula suka menulis.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik ke akaun TikTok Cik Norsahida pada 19 Mac, Allahyarhamha merakamkan penghargaan buat ibunya menerusi tulisan surat.




@stairwayheaven_

I can't stop crying reading her letters and cards. You gone too soon my 1st born. Rindu sangat dengan you. Allah loves you more. We will meet in Jannah, love. #inshaallah #allahuakbar #firstborndaughter #loveletters #semogatenangdisana #almarhumahnureenfateha

♬ original sound - Les mémoires - StairwayToHeaven



“Saya berharap pada masa hadapan, kami dapat bertemu lagi. Terima kasih kerana kasih sayang dan segala yang mummy telah lakukan,” tulis Allahyarhamha.


Beliau menyifatkan arwah sebagai seorang yang berfikiran matang meskipun usianya yang muda.

“Pernah satu ketika semasa kami bersiar-siar di Johor Bahru dia lihat ada anak kecil tercari-cari sesuatu atau seseorang.

“Dia menghampirinya dan ternyata anak kecil itu mencari ibu bapa yang hilang. Kami dapat satukan anak kecil itu dengan ibu bapanya akhirnya dan ia membuat arwah rasa begitu riang (kerana dapat membantu),” kata Cik Norsahida.

Jenazah Allahyarhamha dikebumikan di Pusara Aman pada 6 Mac.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >