Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar akan lebih peka terhadap hidupan liar asli S’pura jelang 2030

Usaha terap pendidikan biodiversiti asli ke dalam program sekolah antara 20 sasaran nasional persidangan biodiversiti PBB
Oct 21, 2024 | 2:06 PM
Pelajar akan lebih mengetahui tentang hidupan liar asli Singapura, seperti burung kelicap atau sunbird (kanan), spesies tempatan yang setara dengan burung kolibri atau hummingbird (kiri), yang terkenal dan hanya boleh ditemui di benua Amerika.
Pelajar akan lebih mengetahui tentang hidupan liar asli Singapura, seperti burung kelicap atau sunbird (kanan), spesies tempatan yang setara dengan burung kolibri atau hummingbird (kiri), yang terkenal dan hanya boleh ditemui di benua Amerika. - Foto ST

Menjelang 2030, Lembaga Taman Negara (NParks) berharap pelajar di sini lebih peka terhadap hidupan liar asli Singapura, seperti burung kelicap (sunbird) dan burung enggang (hornbill) – spesies tempatan yang setara dengan burung kolibri (hummingbird) dan tukan (toucan), yang terkenal dan hanya boleh ditemui di benua Amerika.

Usaha untuk menerapkan unsur-unsur pendidikan biodiversiti asli ke dalam program sekolah – dari sekolah rendah hingga prauniversiti – adalah salah satu daripada 20 sasaran nasional yang telah diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Oktober, menjelang persidangan biodiversiti badan global itu di Cali, Colombia, yang akan berlangsung dari 21 Oktober hingga 1 November.

Selain sasaran itu, empat lagi sasaran berikut juga belum pernah diumumkan secara terbuka.

Pertama, menjadi penganjur atau penganjur-bersama sekurang-kurangnya 10 lagi acara berkaitan biodiversiti serantau dan antarabangsa menjelang 2030.

Kedua, memastikan kadar perdagangan hidupan liar secara haram melalui Singapura berada di bawah 0.5 peratus, setiap tahun.

Kadar ini merujuk kepada jumlah kes perdagangan hidupan liar haram yang diperdagangkan ke Singapura atau melalui Singapura, berbanding dengan jumlah permit yang dikeluarkan untuk import atau eksport hidupan liar di bawah konvensyen PBB yang mengawal perdagangan spesies terancam.

Ketiga, menyediakan 1,000 rekod spesies tumbuhan asli di Flora Fauna Web, sebuah pangkalan data tumbuhan dan haiwan yang diuruskan oleh NParks dan boleh diakses orang awam.

Keempat, memastikan pembangunan di negara ini kekal tertakluk kepada perancangan ruang yang mengambil kira biodiversiti dalam rangka kerja perancangan Singapura.

Sasaran ini merupakan salah satu strategi Singapura dalam mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan.

Menurut NParks, ia masih dalam proses merangka lebih banyak sasaran nasional, di samping 20 sasaran yang telah ditetapkan.

Sasaran ini akan menjadi sebahagian daripada Strategi dan Pelan Tindakan Biodiversiti Nasional Singapura yang disemak semula, yang terkini sejak 2019.

Persidangan biodiversiti PBB dwitahunan, dikenali sebagai COP16, adalah yang pertama diadakan sejak Rangka Kerja Biodiversiti Global, dan telah diterima pakai oleh hampir 200 negara pada 2022 di COP15.

Rangka kerja global itu menetapkan 23 sasaran untuk dicapai oleh negara-negara menjelang 2030, dengan tujuan menangani kehilangan biodiversiti, memulihkan ekosistem semula jadi, serta meningkatkan kesedaran serta pendidikan tentang biodiversiti.

Sebelum ketibaan negara-negara di Colombia untuk COP16, PBB menggesa mereka untuk menyerahkan sasaran pemuliharaan alam semula jadi nasional yang baru, yang sejajar dengan sasaran yang disenaraikan dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global.

Encik Lim Liang Jim, pengarah kanan bagi pemuliharaan biodiversiti antarabangsa di NParks, berkata:

“Kami sedang mengemas kini Strategi dan Pelan Tindakan Biodiversiti Nasional kami serta mengembangkan sasaran nasional yang selari dengan sebanyak mungkin sasaran global yang relevan untuk Singapura.”

Dibangunkan oleh NParks melalui perundingan dengan agensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan, 20 sasaran nasional itu diselaraskan dengan lapan daripada 23 sasaran global itu, lapor The Straits Times.

Wakil Singapura ke COP16 terdiri daripada pegawai NParks, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Negara (MND) yang menyelia semua aspek pemuliharaan alam semula jadi di negara ini.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata Rangka Kerja Biodiversiti Global ialah “langkah bercita-cita tinggi tetapi penting” ke arah tindakan global yang lebih besar untuk melindungi warisan semula jadi dunia, dan Singapura komited terhadap tindakan pemuliharaan biodiversiti nasional dan global.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg