Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar Al-Ma’arif kekal aktif selepas Ramadan

Apr 11, 2025 | 5:30 AM
Sukan memanah merupakan salah satu kegiatan kokurikulum utama bagi pelajar peringkat menengah di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah.
Sukan memanah merupakan salah satu kegiatan kokurikulum utama bagi pelajar peringkat menengah di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah. - Foto MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH

Dalam tempoh kurang dua minggu setelah Lebaran, pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah menunjukkan semangat kesungguhan dan keupayaan dalam pelbagai bidang.

Antaranya melalui penyertaan aktif dalam pertandingan sukan, program budaya dan kemasyarakatan serta majlis penganugerahan yang mengiktiraf kecemerlangan pelajar daripada pelbagai sudut.

Menurut Pengurus Pentadbiran madrasah tersebut, Cik Mukhlisah Johan, pada 3 April lalu, pihak madrasah telah menganjurkan ‘Pertandingan Sukan antara Pelajar’,  atau Inter House Game, khususnya dalam kegiatan memanah.

Memanah merupakan salah satu kegiatan kokurikulum utama bagi pelajar peringkat menengah.

Sukan memanah dipilih bukan sahaja sebagai wadah riadah, malah sebagai wadah untuk memberi tumpuan, ketenangan dan kawalan diri dalam kalangan pelajar.

“Pertandingan ini disertai oleh empat rumah pasukan sukan yang mewakili pelajar iaitu Asma’, Khaulah, Nusaibah dan Zinnirah.

“Setiap pasukan mempertaruhkan pemanah terbaik masing-masing dalam suasana pertandingan yang penuh semangat kesukanan.

“Guru penasihat pasukan dan jurulatih turut memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan serta sokongan moral kepada pelajar.

“Selain persaingan yang sihat, acara ini turut menonjolkan nilai-nilai kerja berpasukan, strategi dan kepercayaan diri dalam kalangan peserta,” jelas Cik Mukhlisah. 

Perpaduan budaya melalui sambutan Syawal

Madrasah menerima kunjungan istimewa daripada rakan pendidikan iaitu Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama) pada 4 April pula, sempena program sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Delegasi sekolah tersebut terdiri daripada 17 pelajar, tiga guru, dan Naib Pengetua, Encik Kenneth Ching.

Tema sambutan pada 2025, ‘Meraikan Kemenangan, Melestarikan Warisan’, menyerlahkan matlamat untuk mengangkat nilai tradisi dan kebudayaan Melayu/Islam sambil meraikan kejayaan menempuh Ramadan.

Antara kegiatan yang dijalankan termasuk ‘Tanjak & Samping Challenge’.

Cabaran berpasukan ini perlu melilit tanjak dan menyarung kain samping secara kreatif.

Pengenalan makanan tradisional Melayu dan kuih-muih Aidilfitri seperti ketupat, rendang, kuih bangkit dan dodol juga diadakan.

Ada juga pameran pakaian tradisional Melayu, seperti baju kurung, baju kebaya dan baju Melayu, yang diperagakan serta diterangkan kepada tetamu.

“Program ini bertujuan memupuk persefahaman antara budaya serta mempromosikan semangat perpaduan dan keharmonian kaum dalam kalangan pelajar pelbagai latar belakang,” kata Cik Mukhlisah. 

Madrasah Star Awards 2025 – Raikan kecemerlangan pelajar 

Madrasah turut menganjurkan Majlis Madrasah Star Awards 2025, iaitu majlis tahunan yang mengiktiraf pelajar menengah dan prauniversiti yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, bahkan dalam kepimpinan dan nilai Islam.

“Seramai 90 pelajar menerima pelbagai jenis anugerah dalam majlis penuh bermakna ini. Antara kategori anugerah yang disampaikan termasuk Anugerah Kecemerlangan Subjek, Anugerah Kemajuan Terbaik, Anugerah Muslimah Teladan, Anugerah R.A.R.E – untuk pelajar yang menunjukkan ketahanan, keprihatinan dan sikap positif dalam menghadapi cabaran.

“Terakhir, Anugerah Ma’arifian iaitu anugerah tertinggi kepada pelajar cemerlang menyeluruh dari segi akademik, akhlak dan kepimpinan,” jelas Cik Mukhlisah.

Cik Mukhlisah menambah, sebagai sebahagian daripada penglibatan pelajar dalam kegiatan kemasyarakatan, pelajar itu juga ditempatkan di pelbagai masjid seluruh Singapura bagi menjayakan daya usaha kutipan tabung Jumaat pada 11 April ini. 

Sumbangan boleh disalurkan dalam beberapa cara:

1. PayNow ke UEN: S36MM0001G (Rujukan: Jenis Sumbangan). 

2. Perbankan Internet: OCBC 507018232001 (Rujukan: Jenis Sumbangan).

3. Hadir di pejabat Madrasah Al-Ma’arif dari Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 4 petang).

4. Hantar cek atas nama ‘Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah’ dan poskan ke alamat No 3, Lorong 39 Geylang Singapura 387865.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg