Pelajar cemerlang IB Aljunied ingin jadi contoh buat tiga adik
Pelajar cemerlang IB Aljunied ingin jadi contoh buat tiga adik
Simpan hasrat buru dua ijazah di Universiti Al-Azhar untuk dalami nilai Islam dengan pendidikan moden
Pada usia semuda 18 tahun, Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi, sudah menetapkan hala tuju bagi masa hadapannya.
Pelajar Prauniversiti 2 di Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu menyimpan hasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar di Mesir, di samping memburu segulung ijazah kedua dalam bidang undang-undang atau psikologi di universiti tempatan.
Keputusan cemerlang yang beliau raih dalam Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) pada 18 Disember, bahkan, membuat dirinya selangkah lebih dekat dalam merealisasikan impiannya.
Beliau yang mengambil lapan mata pelajaran merupakan salah seorang pelajar terbaik dalam kohort seramai 15 pelajar Madrasah Aljunied, yang mengikuti program IBDP pada 2025.
Apabila ditanya mengapa beliau ingin mendapatkan dua ijazah, Ahmad Eimran, anak sulung empat beradik, berkata:
“Saya ingin menggabungkan nilai-nilai Islam dengan pendidikan moden supaya saya dapat menyumbang kepada masyarakat secara lebih berkesan.
“Dunia semakin berkembang dan semakin banyak isu kontemporari yang timbul, berkaitan percanggahan antara nilai-nilai Islam dengan proses kemodenan.
“Jadi mungkin daripada pembelajaran saya, saya ingin menggabungkan perkara-perkara ini supaya dapat mengatasi isu kontemporari ini pada masa depan.”
Meskipun terpaksa mengimbangi masa antara pelajaran dengan komitmen sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Majlis Pelajar, Ahmad Eimran berkongsi pegangan kepada prinsip tawakal telah memudahkan urusannya.
Tawakal, yang bermaksud menyerahkan segala urusan kepada Allah swt dengan sepenuh kepercayaan, ialah nilai yang diterapkan dalam keluarganya.
Bapanya, Encik Mohammad Suhaimi Jamil, 47 tahun, seorang pegawai teknikal kanan, manakala ibunya, Cik Eryanty Kusnadi, 41 tahun, merupakan suri rumah.
Selain Ahmad Eimran yang merupakan anak sulung, pasangan itu mempunyai tiga lagi anak berusia antara lapan dengan 16 tahun.
“Nilai ini sangat penting sebagai seorang penuntut ilmu kerana usaha yang telah kita letakkan dalam pendidikan, tidak akan berbunga tanpa kebergantungan kepada Tuhan, tanpa rasa yakin bahawa Tuhan akan memberi ganjaran ke atas usaha kita,” kongsi Ahmad Eimran ketika ditemui Berita Harian (BH).
Selaku abang sulung, beliau tidak dapat nafikan adakalanya dirinya mengalami tekanan menjadi suri teladan buat adik-adiknya yang juga sedang melalui kurikulum madrasah.
Ahmad Eimran menambah langkah menyertai program IBDP merupakan satu tindakan berani yang diambil atas dasar kepercayaan beliau mampu mengharunginya dengan tabah dan tenang.
Namun, berkat usahanya selama dua tahun yang membuahkan keputusan yang amat menggalakkan itu, beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada adik-adiknya untuk melakukan perkara yang sama.
“
Saya ingin menggabungkan nilai-nilai Islam dengan pendidikan moden supaya saya dapat menyumbang kepada masyarakat secara lebih berkesan. Dunia semakin berkembang dan semakin banyak isu kontemporari yang timbul, berkaitan percanggahan antara nilai-nilai Islam dengan proses kemodenan. Jadi mungkin daripada pembelajaran saya, saya ingin menggabungkan perkara-perkara ini supaya dapat mengatasi isu kontemporari ini pada masa depan.
