Menjelang 2027, lebih ramai pelajar berpeluang mendapat gambaran awal mengenai alam pekerjaan serta pelbagai bidang kerjaya menerusi program seperti ceramah kerjaya dan lawatan sambil belajar.

Kementerian Pendidikan (MOE) sedang memadankan sekolah dengan lebih ramai golongan karyawan serta organisasi industri melalui platform digital baharu yang dikenali sebagai Pemadanan Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya (ECG Match).

Langkah ini bertujuan membantu pelajar sekolah rendah, menengah dan prauniversiti meneroka pelbagai industri, di samping mengenal pasti minat serta aspirasi kerjaya mereka.

Mengumumkan perkara itu pada majlis penghargaan perkongsian sekolah-industri pada 11 November, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata jalinan kerjasama di luar bilik darjah akan menjadi semakin penting seiring usaha sekolah mencorak semula pendekatan pembelajaran.

Oleh itu, MOE sedang mempergiat usaha untuk meluaskan kerjasama dengan pihak industri di semua sekolah, tambahnya.

“MOE telah lama memainkan peranan sebagai ‘ejen pemadan’. Rakan sekerja di pelbagai bahagian membantu sekolah dan rakan industri membina kerjasama yang membuahkan hasil,” kata Encik Lee pada majlis yang diadakan di Gardens by the Bay itu.

Setakat ini, beliau berkata pejabat penglibatan kerjasama MOE telah mendekati lebih 180 organisasi dan menyelaras lebih 60 kerjasama antara sekolah dengan industri.

Platform tersebut pada awalnya bermula dengan 200 rakan kongsi pada 2025, dan kini telah meningkat kepada 700 rakan kongsi. 

Ia menyasarkan untuk mencapai 2,000 rakan kongsi menjelang 2027.

Menerusi platform itu, pihak sekolah boleh menyatakan sektor dan peluang yang dicari, manakala golongan karyawan serta organisasi pula boleh menyatakan kelapangan masa dan bidang kepakaran masing-masing.

Sistem tersebut kemudian akan mengesyorkan padanan yang sesuai supaya kedua-dua pihak dapat berhubung antara satu sama lain.

Encik Lee turut menggalakkan rakan kerjasama termasuk alumni untuk menyumbang menerusi pelbagai cara seperti berkongsi kisah kerjaya, menganjurkan lawatan sambil belajar, menyokong pameran kerjaya atau menyertai sesi maya ringkas bersama kelas.

Penglibatan ini fleksibel dan boleh merangkumi daripada satu sesi sejam yang ringkas sehingga kepada beberapa aktiviti sepanjang tahun.

“Kongsi kepakaran dan pengalaman anda. Buka tempat kerja anda jika boleh. Jalin kerjasama dengan pendidik kami untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang bermakna buat pelajar,” kata Encik Lee.

Pengarah Agung Pendidikan MOE, Cik Liew Wei Li, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa platform itu “mendemokrasikan akses” kepada golongan karyawan industri, khususnya bagi sekolah yang mungkin tidak mempunyai rangkaian alumni yang kukuh.

Malah, tidak terlalu awal untuk memperkenalkan pelajar sekolah rendah dan menengah kepada alam pekerjaan, katanya.

“Apabila kita cuba melihat bagaimana perkara yang dipelajari pelajar berkait dengan keperluan masa depan, ia (pendedahan kerjaya) bukan sesuatu yang terlalu awal untuk dilakukan. 

“Kita sebenarnya memberi motivasi kepada pelajar dengan memberikan gambaran tentang matlamat akhir. Jika tidak, tumpuan mereka hanya terarah kepada sekolah yang seterusnya,” kata Cik Liew.

Golongan karyawan juga boleh menyumbang secara peribadi tanpa perlu menunggu syarikat mereka menganjurkan jalinan kerjasama, jelasnya.

Menerusi perkongsian perjalanan kerjaya mereka sendiri, pelajar dapat melihat pelbagai laluan serta mempelajari bagaimana seseorang itu mengharungi penolakan, pemberhentian kerja atau pertukaran kerjaya.

“Kami mahu mendedahkan mereka kepada pelbagai individu dengan kisah yang tulen, agar ia dapat menjadi seumpama sebuah ‘perpustakaan manusia’,” kata Cik Liew.

Melangkaui pengalaman kerja, matlamat program ini adalah untuk membantu pelajar menentukan matlamat hidup serta mengenal pasti potensi diri mereka, tambahnya.