Topik diikuti
Pergi ke BHkuBimbingan karyawan buka mata kepada pilihan kerjaya lebih luas
Acara ‘World X’ bantu pelajar ITE asah kemahiran komunikasi, lebih yakin hadapi alam pekerjaan
Bimbingan karyawan buka mata kepada pilihan kerjaya lebih luas
Pelajar tahun kedua Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, Cik Rindiani Fazirah Rosli, pada mulanya bercita-cita menjadi jurulatih bola sepak.
Namun, peluang mencuba seni videografi dan menghasilkan kandungan di wadah media sosial, TikTok mencetuskan pula minat remaja berusia 18 tahun itu terhadap bidang media.
Minat tersebut mendorong Cik Rindiani untuk mula mempertimbangkan pilihan kerjaya di luar bidang sukan.
Pengalaman menyertai acara penerokaan kerjaya World X, anjuran bersama The Astronauts Collective (TAC) dan ITE di ITE Kolej Central pada 6 Oktober, kemudian mengukuhkan keyakinannya bidang pengajian tidak semestinya menentukan kerjaya yang perlu diceburi.
Menerusi perkongsian karyawan daripada pelbagai industri, beliau turut mendapat gambaran tentang kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan, termasuk kemahiran komunikasi.
“Saya dapat memahami dalam alam pekerjaan, kita perlu bijak berkomunikasi dengan orang lain.
“Saya sendiri agak pendiam, jadi saya perlu membiasakan diri berinteraksi dengan lebih ramai orang bagi meningkatkan keyakinan diri,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Cik Rindiani, yang mengakui masih belum pasti mengenai hala tuju kerjayanya, turut melihat bimbingan daripada individu berpengalaman sebagai peluang untuk mendapatkan pandangan lebih luas mengenai pilihan yang ada.
“Daripada perkongsian tadi, saya sedar kita masih boleh meneroka bidang lain.
“Tidak semestinya kalau kita belajar dalam bidang sukan, kita juga perlu bekerja dalam bidang sukan,” ujarnya.
Wawancara itu diadakan sempena pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara AMP Singapura dengan TAC pada 6 Oktober bagi memperluas akses pelajar ITE kepada bimbingan dan rangkaian profesional.
Menerusi kerjasama tiga tahun itu, rangkaian karyawan Islam AMP akan dimanfaatkan untuk membimbing pelajar ITE serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai dunia pekerjaan.
Lebih 500 karyawan Islam disasar untuk terlibat sebagai mentor dan sukarelawan sepanjang tempoh tersebut, termasuk menerusi program bimbingan kerjaya, JumpStart, dan acara penerokaan kerjaya, World X.