Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar guna vape hadapi tindakan disiplin lebih ketat, termasuk gantung sekolah

Desmond: Kakitangan sekolah, Institut Pengajian Tinggi akan tingkat kuat kuasa
Aug 28, 2025 | 3:00 PM
Desmond Lee, vape, kpod, MOE
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, menggariskan usaha kementeriannya menyokong keseluruhan usaha pemerintah menentang vape. - Foto ST

Beberapa kakitangan sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) akan diberi kuasa dan latihan untuk menjalankan langkah penguatkuasaan terhadap pelajar yang didapati memiliki, mengguna atau mengedar vape atau rokok elektronik (e-rokok).

Mulai 1 September, pelajar yang ditangkap atas kesalahan berkaitan vape akan menghadapi tindakan disiplin yang lebih ketat seperti penahanan, penggantungan dan/atau rotan bagi pelajar lelaki serta pelarasan gred tingkah laku mereka.

Langkah itu diumumkan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dalam sidang media bersama yang diadakan pada 28 Ogos bagi menggariskan usaha kementeriannya menyokong usaha keseluruhan pemerintah menentang vape.

“Sekolah dan IHL akan melaksanakan langkah disiplin yang lebih ketat terhadap vape mulai 1 September 2025 selaras dengan usaha nasional secara keseluruhan.

“MOE (Kementerian Pendidikan) akan menetapkan langkah-langkah disiplin berasaskan sekolah dan institusi, dan ini di samping hukuman yang dikenakan oleh HSA (Penguasa Sains Kesihatan).

“Sekolah akan melaksanakan tindakan tatatertib, melaraskan gred tingkah laku pesalah pelajar dan mengambil langkah mendidik dan pemulihan,” kata Encik Lee.

Bagi IHL, Encik Lee menambah bahawa pelajar yang ditangkap kerana kesalahan berkaitan vape juga boleh berhadapan keistimewaan ditarik balik, seperti peluang kepimpinan, pertukaran luar negara dan/atau biasiswa, pengusiran dari asrama untuk pelajar universiti, denda dan/atau perintah khidmat masyarakat.

Pelajar degil dan mereka yang ditangkap kerana mengedar vape juga boleh dikenakan penggantungan atau pemecatan, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 28 Ogos.

Menurut Encik Lee, selain tindakan penguatkuasaan, MOE juga akan meningkatkan pendidikan di sekolah seperti melalui ceramah semasa perhimpunan mengenai bahaya vape dan kpod serta bagaimana ia menyalahi undang-undang.

Ia juga akan turut mendekati ibu bapa.

“IHL juga bekerjasama dengan ibu bapa dan pemimpin rakan sebaya dengan berkongsi sumber antivape dan maklumat tentang tingkah laku yang perlu diperhatikan untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada pelajar dan menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab yang diterajui oleh rakan sebaya.

“Sekolah kami juga akan memaklumkan kepada ibu bapa tentang langkah-langkah yang diambil oleh MOH, dan bekerjasama dengan ibu bapa untuk menyokong anak-anak melalui perjalanan ini, sambil mengekalkan komunikasi dan kepercayaan terbuka,” kata Encik Lee.

Di sekolah, pelajar juga diingatkan supaya berwaspada terhadap kegiatan penjualan vape di kawasan kejiranan dan di IHL, tambahnya.

Selain usaha pihak sekolah dan IHL, Encik Lee turut menggesa ibu bapa agar memainkan peranan dengan mengadakan perbualan terbuka dengan anak-anak, memantau tingkah laku yang merisaukan dan menyokong anak-anak dalam mendapatkan bantuan.

“Kini, sekolah dan IHL sahaja tidak boleh memenangi ‘perang’ menentang vape ini.

“Kami akan melakukan apa yang kami mampu tetapi akhirnya kami memerlukan usaha seluruh masyarakat.

“Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mencegah anak-anak mereka daripada menghisap dan mengambil dadah.

“MOH akan terus meningkatkan kesedaran dan menyokong ibu bapa melalui penglibatan,” ujar Encik Lee.

MOH dan MHA berkata HPB akan terus bekerjasama dengan MOE untuk membawa mesej antivape dalam bahan pendidikan dan program pencegahan, serta menyediakan sumber untuk ibu bapa.

Ibu bapa juga boleh mengakses sumber dan maklumat berkaitan di Hab Ibu Bapa dan laman web, Families for Life, termasuk tentang cara memulakan perbualan dengan anak mereka tentang vape, tambahnya.

Menurut jurucakap MOE, kurang daripada 50 kes dari sekolah dan IHL dirujuk kepada HSA kerana kesalahan vape sebelum 2020.

Namun, purata bilangan pelajar yang ditangkap di sekolah dan IHL kerana kesalahan vape setiap tahun dari 2022 hingga 2024 meningkat kepada kira-kira 3,100 dan 800.

“Sekolah dan IHL (Institut Pengajian Tinggi) akan melaksanakan langkah disiplin yang lebih ketat terhadap vape mulai 1 September 2025 selaras dengan usaha nasional secara keseluruhan. MOE (Kementerian Pendidikan) akan menetapkan langkah-langkah disiplin berasaskan sekolah dan institusi, dan ini di samping hukuman yang dikenakan oleh HSA (Penguasa Sains Kesihatan). Sekolah akan melaksanakan tindakan tatatertib, melaraskan gred tingkah laku pesalah pelajar dan mengambil langkah mendidik dan pemulihan.”
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg