Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Etomidate diklasifikasi sebagai dadah bahaya mulai 1 Sep

Aug 24, 2025 | 4:56 PM
Kpode, Vape, Ong Ye Kung
Kpod, yang merupakan cecair vape dicampur dengan etomidate, semakin popular, dengan penjual dalam talian mempromosikannya sebagai sukar dikesan melalui ujian air kencing. - Foto fail

Etomidate, yang semakin disalahgunakan melalui pod e-vaporiser (Kpod) dan peranti lain, akan disenaraikan sebagai dadah haram mulai 1 September.

Bahan anestetik ini akan diklasifikasikan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) sebagai dadah Kelas C, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung pada 24 Ogos di luar sebuah acara masyarakat di Serangoon, lapor The Straits Times (ST).

“Seperti yang diumumkan oleh pelbagai menteri, termasuk Perdana Menteri semasa Rapat Hari Kebangsaan, kami mengambil langkah untuk memperkukuh rangka kerja penguatkuasaan, terutamanya untuk pengguna dan penyalah guna vape dan vape etomidate,” katanya.

Etomidate ialah bahan perubatan yang digunakan dalam amalan klinikal dan kini diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun.

Setelah diklasifikasikan semula di bawah MDA, penyalah guna etomidate akan berdepan hukuman yang lebih berat, seperti hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda $20,000 bagi pemilikan dan penggunaan haram.

Mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah Kelas C boleh dipenjara hingga 10 tahun dan dikenakan lima sebatan rotan.

Ini lebih berat berbanding dengan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda $10,000 di bawah Akta Racun bagi pemilikan, penggunaan dan pengedaran.

MDA juga menyediakan pengawasan dan pemulihan mandatori untuk penagih dadah tersebut.

Seorang penagih mesti berada di pusat pemulihan selama 12 bulan kecuali jika dia dibebaskan lebih awal.

Dadah Kelas C merujuk kepada bahan-bahan yang mempunyai potensi kemudaratan lebih rendah berbanding dadah Kelas A dan Kelas B, tetapi masih cukup berbahaya untuk memerlukan kawalan ketat.

Dadah lain yang diklasifikasikan di bawah kategori ini termasuk perangsang pipradrol dan dadah hipnotik Erimin-5 (nimetazepam).

Bahan-bahan ini mungkin mempunyai kegunaan perubatan yang sah tetapi boleh mendatangkan bahaya jika digunakan secara tidak terkawal.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata butiran lanjut mengenai rancangan pemerintah untuk vape akan dikongsi dalam satu sidang media pada 28 Ogos.

Etomidate direka untuk disuntik terus ke dalam urat di bawah pengawasan klinikal bagi tujuan anestetik, dan tidak sepatutnya disedut terus ke dalam paru-paru.

Namun, Kpod, yang merupakan cecair vape dicampur dengan etomidate, semakin popular, dengan penjual dalam talian mempromosikannya sebagai sukar dikesan melalui ujian air kencing.

Pada 20 Julai, Encik Ong berkata bahawa kira-kira satu daripada tiga vape yang dirampas semasa operasi penguatkuasaan baru-baru ini dan diuji, didapati mengandungi etomidate.

Apabila disedut, bahan ini boleh mencetuskan kekejangan, kesukaran bernafas, sawan dan psikosis.

Encik Ong juga sebelum ini mengesahkan bahawa beberapa kematian di sini telah dikaitkan dengan penyalahgunaan etomidate.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg