Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar istimewa hasilkan karya seni walau ada masalah otot

Oct 3, 2024 | 3:54 PM
Meskipun mengalami masalah otot, ini tidak menghambat Muhammad Ridhwan Masli untuk berkarya. Dua daripada karya seninya, (dari kiri) ‘Fragments No. 7’ dan ‘Fragments No. 3’, akan dipamerkan di pameran pengumpulan dana seni, ‘Curio: A World of Wonders, Beyond Disabilities’, dari 5 hingga 12 Oktober.
Meskipun mengalami masalah otot, ini tidak menghambat Muhammad Ridhwan Masli untuk berkarya. Dua daripada karya seninya, (dari kiri) ‘Fragments No. 7’ dan ‘Fragments No. 3’, akan dipamerkan di pameran pengumpulan dana seni, ‘Curio: A World of Wonders, Beyond Disabilities’, dari 5 hingga 12 Oktober. - Foto ST

Walaupun mengalami sindrom Pfeiffer dan Anomali Kongenital Pelbagai serta kelewatan pembangunan global (GDD) sejak lahir, Muhammad Ridhwan Masli tidak menjadikannya sebagai penghalang kreativitinya.

Antara kondisi Ridhwan ialah beliau tidak mampu menggerakkan sikunya seperti remaja biasa dan ini menyebabkan kesukaran dalam menggunakan pensel dan berus.

Cabaran otot itu tidak menghambatnya daripada berkarya.

Beliau mencari alternatif dengan menggunakan pengelap (squeegee) dan kad untuk menghasilkan seni strok panjang dan pendek.

Remaja berusia 18 tahun itu adalah antara beberapa pelajar terpilih daripada Pusat Rainbow (RC) yang akan mempamerkan karya seni mereka pada pameran pengumpulan dana seni, Curio: A World of Wonders, Beyond Disabilities.

Pameran itu akan menampilkan 45 karya seni daripada pelajar Program Pembangunan Bakat Seni RC berusia 15 hingga 18 tahun.

Ia bertujuan untuk mengumpul $250,000 yang akan disalurkan kepada tiga bidang kritikal – membantu keluarga berpendapatan rendah mendapat akses perkhidmatan penting, mengurangkan tekanan penjaga dan pengasingan sosial melalui program seperti penjagaan khas pelajar dan perkhidmatan masyarakat dewasa, serta memupuk penyelidikan dan inovasi.

Di pameran yang akan berlangsung dari 5 hingga 12 Oktober di ruang seni visual Objectifs, Ridhwan akan menampilkan dua karya seninya – Fragments No. 3 dan Fragments No. 7.

“Saya sukar memegang pensel tetapi seni strok panjang dan pendek lebih mudah.

“Oleh itu, saya menggunakan pengelap dan kad plastik untuk menghasilkan karya ini,” ujar Ridhwan, yang hanya mengambil satu hari untuk menyiapkan karya terbarunya.

Walaupun perkembangan kognitifnya agak perlahan berbanding kanak-kanak lain, pelajar RC Margaret Drive itu tidak menjadikannya sebagai penghalang.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi pelukis telah mencari alternatif dengan meneroka pelbagai teknik seni abstrak dan menggunakan bahan bukan konvensional – cat akrilik cair, kertas dan kad plastik.

“Walaupun Ridhwan meminati perkara lain, beliau mengambil keputusan untuk memilih seni abstrak kerana lebih mudah baginya,” kata guru seninya di RC, Cik Teo Jing Jie.

Cik Teo, 40 tahun, turut berkongsi bahawa Ridhwan pernah memenangi tempat kedua di pertandingan seni, Brainiverse 2023, di mana beliau menerima anugerah itu daripada Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Cik Kara Owen.

Muhammad Ridhwan Masli (kanan) mengerjakan karya seninya sampil diperhatikan guru seninya, Cik Teo Jing Jie, di Pusat Rainbow.
Muhammad Ridhwan Masli (kanan) mengerjakan karya seninya sampil diperhatikan guru seninya, Cik Teo Jing Jie, di Pusat Rainbow. - Foto ST

Selain daripada melukis, beliau juga gemar membantu ibunya, Cik Juliana Mohamad, menjual kek secara dalam talian melalui aplikasi Instagram.

“Ibu saya mengajar saya untuk membuat kek dan saya suka membuat ‘brownies’,” katanya, yang juga gemar bermain bola keranjang dan bersenam.

Selain pameran, acara Curio juga akan menampilkan lawatan berpandu, perjalanan pembelajaran dan perbincangan panel daripada kakitangan RC dan Superhero Me, pergerakan seni inklusif dan kanak-kanak yang mempunyai kebolehan berbeza.

Kegiatan ini akan menerangkan lebih lanjut mengenai penyertaan orang kurang upaya di Singapura dan karya seni mereka.

Pameran itu akan berlangsung dari 12 tengah hari hingga 7 malam pada Isnin hingga Sabtu, dan dari 12 tengah hari hingga 4 petang pada Ahad.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman https://rainbowcentre.org.sg/curio2024/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg