Niat menyumbang kepada masyarakat mendorong Encik Muhammad Zayyan Muhammad Zamani menawarkan diri menghasilkan rutin tarian demi menjaga kesihatan jantung.

Encik Zayyan, penuntut tahun ketiga kursus Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, merupakan antara sukarelawan yang mencipta rutin tarian, Spring to the Beat!.

Rutin itu dilancarkan sempena acara Minggu Jantung Kebangsaan-Hari Jantung Sedunia di Heartbeat@Bedok pada 3 Oktober.

Ia diperkenalkan sebagai sebahagian usaha Yayasan Jantung Singapura (SHF) menggalakkan masyarakat agar kekal aktif dan menjaga kesihatan jantung.

Acara itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, serta Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How.

Encik Tan juga merupakan penasihat pertubuhan akar umbi GRC East Coast.

Di bawah bimbingan tenaga pengajar, Encik Zayyan, 19 tahun, melalui beberapa pusingan percubaan dan penambahbaikan bagi mencari pergerakan yang sesuai sebelum rutin itu dapat disempurnakan.

“Cabaran utama adalah kami bermula dari kosong (tidak mengetahui apa-apa). Ketika itu, lagu pun belum ditentukan, jadi kami tidak tahu dari mana hendak bermula.

“Kami menghasilkan sekitar empat atau lima versi rutin. Setiap kali ada gerakan yang dirasakan kurang sesuai, kami akan cuba memperbaikinya.

“Kami tidak takut melakukan kesilapan kerana setiap percubaan memberi ruang untuk kami memperbaiki rutin itu,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Penglibatannya dalam menghasilkan rutin itu turut membuka mata Encik Zayyan mengenai kepentingan menjaga kesihatan jantung.

“Sebelum ini, saya tidak begitu memikirkan betapa seriusnya masalah berkaitan jantung.

“Namun, apabila saya mula mengetahui lebih lanjut menerusi program ini, saya terkejut melihat betapa ramai orang yang berdepan masalah tersebut,” katanya.

Bagi Encik Zayyan, pengalaman itu sekali gus memberinya pemahaman lebih mendalam tentang usaha menggalakkan golongan muda dan kanak-kanak supaya kekal aktif.

Rutin itu turut direka rakan sekursus Encik Zayyan, Cik Theresa Tan Sin Yee, Encik Nicholas Tang Zhijie dan Cik Kotrina Wong Bo Qi, kesemuanya 19 tahun.

Sementara itu, Penolong Profesor Klinikal Dr Muhammad Idu Jion, yang juga pakar kardiologi, berkata penyakit kardiovaskular menyumbang kira-kira sepertiga daripada kematian di Singapura.

Beliau berkata orang dewasa disarankan melakukan kegiatan fizikal selama 150 hingga 300 minit seminggu, di samping latihan menguatkan otot.

“Aktiviti fizikal dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kencing manis, selain meningkatkan kesihatan fizikal dan mental serta membantu dalam pengurusan berat badan.

“Justeru, kegiatan fizikal merupakan bahagian penting dalam menjalani kehidupan yang sihat,” ujarnya.

Dr Muhammad juga merupakan Anggota Lembaga SHF merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Minggu Jantung Kebangsaan-Hari Jantung Sedunia 2026.

Sejak pertengahan September, SHF telah merintis Spring to the Beat! di beberapa sekolah rendah, melibatkan lebih 800 murid Darjah 1 dan 2, sehingga pertengahan Oktober.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, SHF menyasarkan rutin itu diperluas kepada sekitar 15,000 murid Darjah 1 dan 2.

Menurut Dr Muhammad, usaha tersebut bukan sekadar mahu memupuk gaya hidup aktif sejak kecil, malah diharap dapat mendorong murid mengamalkan apa yang dipelajari bersama keluarga di rumah.

“SHF turut menyediakan bahan yang boleh dibawa pulang oleh murid dan dikongsi bersama keluarga, bagi menggalakkan ibu bapa serta anak-anak mengamalkan pemakanan sihat dan kekal aktif bersama,” katanya.