Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar lapan sekolah rendah sertai kuiz kebangsaan bahasa Melayu ‘Cepat Tepat’

Aug 16, 2024 | 3:13 PM
Lebih 30 murid dari lapan sekolah rendah menyertai kuiz peringkat kebangsaan Bahasa Melayu yang diadakan secara tahunan, Cepat Tepat, yang akan disiarkan setiap Jumaat bermula 16 Ogos di saluran Suria.
Lebih 30 murid dari lapan sekolah rendah menyertai kuiz peringkat kebangsaan Bahasa Melayu yang diadakan secara tahunan, Cepat Tepat, yang akan disiarkan setiap Jumaat bermula 16 Ogos di saluran Suria. - Foto MEDIACORP SURIA

Lebih 30 murid dari lapan sekolah rendah menyertai kuiz bahasa Melayu peringkat kebangsaan yang diadakan secara tahunan, Cepat Tepat.

Kuiz tersebut bermatlamat menyemarakkan dan mengekalkan minat pelajar dalam bahasa Melayu di luar bilik darjah, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada 16 Ogos.

Lapan sekolah rendah itu ialah Sekolah Rendah Ang Mo Kio, Sekolah Rendah Bedok Green, Sekolah Rendah Chongzheng, Sekolah Rendah Naval Base, Sekolah Rendah Perempuan Raffles, Sekolah Rendah Seng Kang, Sekolah Rendah St Hilda dan Sekolah Rendah Yew Tee.

Ia diadakan bersempena Bulan Bahasa 2024, yang akan berlangsung dari 17 Ogos hingga 13 Oktober.

MOE berkata kuiz itu, anjuran Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), akan disiarkan di saluran Suria pada 9 malam setiap Jumaat dari 16 Ogos hingga 13 September.

Siaran peringkat akhir pada 13 September akan ditayangkan pada 8.30 malam dengan dihadiri tetamu terhormat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman. Beliau juga merupakan pengerusi MLLPC.

Di samping disiarkan di televisyen, peserta kuiz itu akan juga menyertai program radio Cepat Tepat dari 9 hingga 13 September untuk mempelajari lebih lanjut tentang budaya Melayu.

Edisi Bulan Bahasa kali ini akan memberi penekanan kepada belia melalui beberapa program yang direka untuk menarik minat mereka dan meningkatkan keyakinan mereka dalam menggunakan bahasa Melayu. Ia termasuk siri podcast aktivis seni dan dikir barat Hidayat Nordin bertajuk ‘Sapot!’, yang bakal muncul sekali lagi bagi siri kedua.

Ditubuhkan oleh MOE pada 2006, MLLPC berperanan memupuk dan menarik minat pelajar Bahasa Melayu dalam pembelajaran bahasa.

Antara kegiatan lalu anjuran MLLPC

  1. Fiesta Kesantunan 2024 (13 Julai di One Punggol)
  2. Pertandingan Bicara Berirama 2024 (18 Mei di Edutorium MOE)
  3. Fiesta Bahasa 2023 (8 Julai di Hab Masyarakat One Punggol)
  4. Kembara Nusantara 2022 (27 September di Zoo Singapura)
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg