Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keputusan PSLE, dorongan ayah pemangkin impian jadi ustaz

Murid Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah antara 332 murid madrasah terima keputusan PSLE
Nov 25, 2025 | 7:08 PM
Keputusan PSLE, murid impian jadi ustaz, Madrasah Irsyad 
Pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Muhammad Lukman Nurhakim, meraikan keputusan PSLE bersama (dari kiri) kakaknya, Faathimah Azzahra’ Lukman Nurhakim; bapanya, Encik Lukman Nurhakim Noordin; ibunya Cik Effeana Mohamed Farid; dan adiknya, Ahmad Lukman Nurhakim. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Impian menjadi seorang ustaz apabila dewasa kelak kini semakin dekat bagi Muhammad Lukman Nurhakim, 12 tahun.

Murid Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah itu berjaya meraih keputusan AL12 bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang dikeluarkan pada 25 November.

Muhammad, yang turut meraih prestasi Peperiksaan Saluran Pengajian Islam (ISPE) yang memberangsangkan, memberitahu Berita Harian (BH):

“Saya berazam menjadi seorang ustaz yang baik, dan yang boleh menyumbang kepada masyarakat.

“Saya ingin menguatkan lagi aspek kerohanian dalam masyarakat kita supaya lebih ramai orang juga dapat membawa manfaat kepada masyarakat melalui cara mereka sendiri.”

Cita-cita untuk menjadi seorang ustaz mula berputik hasil dorongan ayahnya yang kerap memperkenalkannya kepada asatizah dan membawanya ke masjid.

Dia turut minat mempelajari undang-undang syariah dan sains Islam demi memperkukuh kemahirannya sebagai ustaz pada masa depan.

Selain mata pelajaran sekolah, Muhammad turut cemerlang di luar bilik darjah juga.

Dia mengambil bahagian dalam sukan renang kerana ia dianggap sebagai kegiatan sunah, serta mempelajari pencak silat untuk tujuan mempertahankan diri.

Selain cemerlang dalam pengajian agama, Muhammad pernah mendapat anugerah perak dan gangsa dalam pertandingan matematik Olympiad.

Dia juga pernah memegang peranan sebagai ketua pelajar, dan mempelajari kepentingan “menghargai adik-adik dan mereka yang kurang berpengalaman”.

Muhammad merupakan antara 332 murid Darjah 6 dari empat madrasah sepenuh masa yang menerima keputusan PSLE pada 25 November.

Sebanyak 99.1 peratus murid madrasah dinilai layak ke sekolah menengah – prestasi yang kekal melebihi 90 peratus sejak 2014.

Empat madrasah itu ialah Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), keempat-empat madrasah yang menawarkan pendidikan sekolah rendah akan mengekalkan status “sekolah yang ditetapkan” di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE) bagi 2026.

Dengan ini, mereka akan kekal layak untuk terus menerima kemasukan murid yang dikecualikan daripada CE di peringkat Darjah 1.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu kenyataan, berkata:

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar, termasuk pelajar Melayu/Islam kita di sekolah nasional dan madrasah kerana menamatkan pencapaian penting ini.

“Saya bangga dengan setiap seorang daripada anda kerana telah memberikan yang terbaik.

“Bagi pelajar yang mungkin belum mencapai apa yang diharapkan, ingatlah bahawa ini hanyalah satu langkah dalam perjalanan pembelajaran anda.

“Yang penting ialah usaha yang anda curahkan dan ketahanan untuk terus melakukan yang terbaik dalam fasa seterusnya pendidikan anda.”

Beliau turut memberikan penghargaan kepada ibu bapa dan para guru yang tidak berbelah bahagi dalam memberi sokongan dan bimbingan.

“Komitmen anda telah membentuk ketahanan dan keyakinan anak-anak kita,” kata Dr Faishal.

“Tahun demi tahun, mereka telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan nasional, dan ini adalah kejayaan bersama yang boleh kita semua banggakan.”

Suasana di dewan Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah pada pagi 25 November dipenuhi dengan perasaan resah bagi sekitar 180 murid Darjah 6.

Namun, perasaan tenang jelas terpancar pada raut wajah Muhammad, yang kekal tabah dengan sokongan berterusan ibu bapanya, Encik Lukman Nurhakim Noordin, dan Cik Effeana Mohamed Farid, kededuanya berusia 45 tahun.

“Kami sangat bangga dengan usaha dan prestasi konsisten anak kami sepanjang di sekolah rendah.

“Mendekati peperiksaan, kami tidak mahu menambah kepada tekanan untuk belajar lebih kerana kami juga perlu mengambil kira keperluan psikologinya.

“Kami lebih berhati-hati semasa tempoh peperiksaan dan menjaga keperluan lain seperti memastikan dia mendapat rehat dan makan dengan secukupnya,” kata Encik Lukman.

Apabila ditanya tentang rancangan masa hadapan, Muhammad berkata dia berhasrat menyertai program International Baccalaureate (IB) di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, di mana kakaknya juga sedang menuntut.

Walaupun hanya berusia 12 tahun, Muhammad sudah berazam untuk ke Mesir untuk mendapatkan ijazah daripada Universiti Al-Azhar.

“Memang ramai ulama berasal dari universiti itu, jadi saya ingin melalui pengalaman berada dalam sebuah komuniti yang sentiasa mengingati Allah,” kata Muhammad.

Minat dan azam Muhammad itu memenuhi hati ibu bapanya dengan kegembiraan.

Encik Lukman berkata: “Kami sangat bersyukur dengan azam anak kami, kerana tidak ramai pelajar mempunyai minat itu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg