Bagi Eshal Nimerah Muhd Yasin, menghadapi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini bukanlah laluan yang mudah, terutamanya dengan kelemahannya dalam mata pelajaran Sains.
Ini kerana Sains adalah subjek asas yang perlu dikuasai untuk ke peringkat menengah, namun bagi Eshal, 12 tahun, ia merupakan mata pelajaran yang paling mencabar.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Eshal menyifatkan dirinya sebagai seorang yang “pemalu tetapi berdaya saing”.
“Saya memang seorang pelajar yang pemalu, tetapi saya bertekad ingin cuba cari jalan bila berdepan dengan cabaran,” kata Eshal.
Justeru, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Drama Sains Antarabangsa anjuran Pusat Sains Singapura tahun ini telah memaksanya keluar daripada zon selesa dan mendalami pembelajaran menerusi aktiviti praktikal.
Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila dia tersenyum lebar menerima keputusan PSLE di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah pada 25 November.
Malah, dia tersenarai antara 10 pelajar terbaik dalam kohortnya sesuatu yang tidak pernah dibayangkan hanya beberapa bulan lalu.
Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sebanyak 99.1 peratus pelajar madrasah dinilai layak untuk ke sekolah menengah.
Empat madrasah itu ialah Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Tambah kenyataan itu, keempat-empat madrasah yang menawarkan pendidikan sekolah rendah akan mengekalkan status “sekolah yang ditetapkan” di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE) bagi 2026.
Bagi Eshal, kejayaan itu membuktikan kegigihan serta dorongan untuk terus belajar dan mengubah kelemahan menjadi kekuatan.
Malah, dia berkata persiapan menghadapi peperiksaan menjadi satu pengalaman penting yang menjadikan dirinya lebih yakin dan berani mencuba perkara baru.
“Dulu saya cepat panik bila belajar Sains sebab banyak konsep yang saya tak faham,” ujarnya.
Namun, dia bersyukur kerana menerima sokongan padu daripada keluarga, khususnya ibunya, Cik Nur Syafiqah Ibrahim, 39 tahun, yang sentiasa berada di sisi setiap kali dia berasa buntu atau tertekan.
“Walaupun saya pemalu, ibu selalu yakinkan saya bahawa saya boleh cuba lagi dan cari jalan sendiri,” kata Eshal, sambil menambah bahawa sokongan ibu bapanya menjadi pendorong terbesar sepanjang persiapan PSLE.
Tambah Cik Syafiqah yang merupakan suri rumah sepenuh masa, berkata dia telah lihat perkembangan baik dalam anak sulungnya itu.
“Tahun ini, dia lebih berdikari, mengambil tanggungjawab dalam pelajarannya dan berani mencuba,” kata Cik Syafiqah.
Ayahnya pula, Encik Muhammad Yasin Tahir, 40 tahun, membantu membimbingnya dalam Matematik di rumah.
“Kami sekeluarga hanya mahu dia tahu bahawa usaha itu lebih penting daripada keputusan dan kami ingin dorong dia dari segi itu,” katanya.
Kini, selepas menerima keputusan PSLE yang memberangsangkan, Eshal bersedia memulakan perjalanan baru di sekolah menengah.
“Saya amat menghargai segala sokongan yang telah diberikan. Tanpa dorongan mereka, saya lebib berani untuk keluar daripada zon selesa demi mencapai matlamat saya,” kata Eshal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg