Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar manfaat AI lonjak hasil ternakan ladang ayam di Jawa
Pelajar manfaat AI lonjak hasil ternakan ladang ayam di Jawa
Pelajar NYP tinggalkan zon selesa demi timba ilmu di pedalaman Indonesia
Pelajar manfaat AI lonjak hasil ternakan ladang ayam di Jawa
Pengajaran pertama yang diperolehi Encik Aiman Hakim Reza, ketika dihantar ke sebuah ladang ayam di Puwarkarta, Jawa di Indonesia, adalah kepentingan mengemudi tugas dengan cekap.
Pelajar tahun akhir Diploma Kecerdasan Buatan (AI) Gunaan dan Analitik di Politeknik Nanyang (NYP) itu menjalani satu program latihan industri di ladang milik syarikat pertanian dan makanan berbilang negara, Japfa, antara Mac 2025 dengan Mac 2026.
Selepas tiga bulan Encik Aiman, 19 tahun, memperkenalkan Sistem Pemantauan Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi harian ladang itu, daya penghasilan ladang tersebut didapati meningkat kerana sistem itu membantu pihak penyelia memastikan piawaian tinggi dikuatkuasakan di ladang berkenaan.
Sistem yang diperkenalkan itu mengesan pelanggaran seperti prosedur nyahkuman yang tidak betul, barangan yang tidak dibenarkan di zon berisiko tinggi, atau pelanggaran kod pakaian, yang seterusnya menghantar amaran segera melalui aplikasi kiriman pesanan WhatsApp kepada penyelia ladang.
Keupayaan tindak balas segera itu membantu mengurangkan risiko wabak penyakit, terutama kerana ladang tersebut membabitkan ternakan ayam.
Pada awalnya, sebagai pelajar cemerlang dalam kohortnya di NYP, Encik Aiman dipilih oleh pensyarah di politekniknya untuk mewakili institusi itu bagi latihan industri tersebut.
Semasa temu duga untuk mendapatkan tempat di Japfa, wakil syarikat memberitahunya prestasi dan rekod akademiknya melebihi jangkaan mereka.
Encik Aiman yang memasuki Senarai Pengarah NYP bagi pelajar cemerlang sebanyak tiga kali pada 2023, 2024 dan 2025, menjadi pilihan dalam kalangan calon lain di maktab rendah dan politeknik di Singapura.
Baginya, ia merupakan peluang keemasan untuk bekerja di ladang ayam di Puwarkarta, Jawa, dan kemudian meninjau pula penetasan udang di Banten, wilayah sekitar barat Indonesia dan berhampiran bandar pesisir.
“Suatu ketika, ribut petir menyebabkan hujan lebat, lantas bekalan elektrik di ladang itu terputus.
“Kebanyakan rakan sekerja saya pula berada di luar ladang. Saya terperangkap dan juga tidak dapat menyalakan lampu atau mendapatkan air.
“Saya perlu berhubung dengan seorang rakan sekerja melalui walkie-talkie (alat komunikasi dua hala) dan memintanya menemani saya.
“Sebenarnya saya ingin pulang, kerana ketika itu sudah 5 petang. Tambahan pula, saya perlu merentas hutan tatkala suasana begitu gelap dan sangat menakutkan,” tambahnya kepada Berita Harian (BH).
Semasa melawat ladang ayam di Purwakarta dan tempat penetasan udang di Anyer pula, Encik Aiman menjalankan ujian dan penyelenggaraan sistem AI berkenaan secara langsung.
Beliau bekerja bersama petani dan penyelia mereka, sambil mengumpul maklum balas.
Sistem pemantauan AI kini digunakan di ladang ayam tersebut, dan sebuah ladang makanan akuatik di Indonesia.
Kini, terdapat rancangan untuk melaksanakan ciri-ciri baharu serta usaha menaik taraf sistem tersebut, sambil memasangnya di lebih banyak ladang, seperti di Vietnam.
Mereka juga sedang dalam proses memasang sistem itu di tempat penetasan udang di Anyer.
Walaupun pengalaman itu menyeronokkan dan menarik minat beliau, Encik Aiman tetap merindui keluarganya setiap kali berjauhan, dan sentiasa memastikan dirinya dapat membuat panggilan telefon kepada ibunya, seorang suri rumah, dan adiknya yang berusia 18 tahun.
Bapanya pula kerap berada di luar negara atas urusan kerja sebagai kontraktor binaan dalam industri hartanah.
Satu lagi cabaran yang dihadapi Encik Aiman adalah mengimbangi kerja sekolah dengan latihan industrinya.
“Pada suatu hujung minggu, saya mempunyai tugasan tahun akhir yang perlu disiapkan.
“Saya ingat saya tidak keluar untuk makan tengah hari dan makan malam kerana mahu menumpukan perhatian kepada kerja di dalam bilik hotel,” kongsinya.
Bagi mengatasi cabaran itu, beliau berkata pendekatan yang diamalkan adalah dengan memberi tumpuan pada tugasannya sekarang dan menunda segala keinginan untuk berseronok di kemudian hari.
“Jika kita perlu melalui kesukaran untuk sampai ke penghujungnya, lebih baik kita harungi secepat mungkin dan lakukan sebaiknya,” tambah beliau.
Kerana minat bertugas dalam suasana unik di ladang, Encik Aiman telah meneruskan program latihan di ladang tersebut untuk dua bulan lagi sehingga pengajiannya di NYP tamat pada Mei.
“Saya kemudian impikan untuk meneruskan pengajian saya di salah satu daripada tiga universiti terkemuka di Singapura.
“Rakan-rakan saya selalu berkata saya harus menceburi bidang AI, kerana ia cocok dengan nama saya ‘A.I.man’.
“Maka, hasrat dan cita-cita saya adalah untuk terus membangun dan mencari huraian bagi dunia sebenar dengan menggunakan AI,” kongsinya dengan tekad bulat.
