Topic followed successfully
Go to BHkuPeguam jadikan usaha bantu golongan kurang mampu sebagai misi hidup
Peguam jadikan usaha bantu golongan kurang mampu sebagai misi hidup
Minat Mohamed Fazal Abdul Hamid terhadap bidang guaman berputik semasa jalani Perkhidmatan Negara
Peguam jadikan usaha bantu golongan kurang mampu sebagai misi hidup
Minat ingin tahu bagaimana undang-undang melindungi individu dan membentuk masyarakat sentiasa tertanam di hati peguam, Encik Mohamed Fazal Abdul Hamid, demi membantu golongan kurang berkemampuan.
Semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Polis Singapura (SPF), beliau yang kini berusia 40 tahun, didedahkan kepada undang-undang jenayah dan prosedur ketika mengikuti Kursus Kadet Pegawai.
Pengalaman itu memperkukuh minat baginya mendalami bidang undang-undang.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Fazal, yang kini peguam di IRB Law LLP serta peguam lantikan di Biro Bantuan Guaman (LAB), berkata beliau mewakili pemohon yang layak menerima bantuan guaman sivil dalam kes perceraian sivil dan Syariah, tuntutan nafkah, hak penjagaan anak serta tuntutan kewangan berkaitan perceraian.
Menurut beliau, kes keluarga dan Syariah sering melibatkan tekanan emosi akibat keruntuhan hubungan dan penyusunan semula keluarga.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah pemerintah mengumumkan had pendapatan isi rumah per kapita bagi kelayakan bantuan guaman sivil di Biro Bantuan Guaman (Lab) akan dinaikkan daripada $1,050 kepada $1,650.
Ini diumumkan sewaktu perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Undang-Undang 2026 pada Mac.
Kini, dengan peluasan kriteria had Pendapatan Isi Rumah Per Kapita bagi bantuan guaman sivil, lebih ramai individu yang memerlukan kini boleh mendapatkan bantuan daripada Biro Bantuan Guaman (LAB).
“Kes keluarga dan Syariah menuntut ketahanan emosi kerana ia melibatkan aspek kehidupan peribadi yang amat mendalam. Klien selalunya berdepan konflik, ketidaktentuan dan perubahan besar pada masa yang sama.
“Seorang peguam perlu kekal tenang dan bersikap berkecuali walaupun keadaan sekeliling sarat dengan emosi.
“Pemikiran yang jelas serta nasihat yang berhemah amat penting dalam perkara sebegini kerana emosi yang memuncak boleh merumitkan proses membuat keputusan,” katanya lagi.
Langkah perluasan kriteria itu meluaskan liputan bantuan guaman daripada 25 peratus terbawah isi rumah penduduk kepada 35 peratus terbawah.
Encik Fazal berkata semakan itu membolehkan lebih ramai mendapatkan akses kepada keadilan.
Bapa dua anak kecil itu menambah: “Peluasan kelayakan ini mengurangkan risiko individu mengendalikan perkara yang besar kesannya tanpa bimbingan guaman yang teratur, yang boleh mempengaruhi cara mereka berunding, pendirian yang diambil serta jangkaan yang dibentuk sejak awal.”
Beliau turut berkongsi pengalaman mewakili seorang wanita yang berdepan keruntuhan rumah tangga selepas mengetahui suaminya berlaku curang.
“Apabila seseorang wanita telah mengatur kehidupannya dengan memberi tumpuan kepada mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak, prospek berdepan prosiding undang-undang serta penyusunan semula kewangan secara tiba-tiba boleh menjadi amat menggusarkan,” katanya.
Dalam sektor undang-undang, Encik Fazal dikenali sebagai seorang peguam yang menjelaskan proses undang-undang secara jelas dan mudah difahami.
Menurutnya, walaupun klien tersebut pada awalnya berasa cemas dan tidak pasti tentang kedudukannya, bimbingan guaman yang tersusun boleh membantu memperjelaskan hak serta rangka kerja yang digunakan mahkamah dalam menilai tuntutannya.
Akhirnya, Encik Fazal berjaya mencapai penyelesaian terbaik buat wanita berkenaan.
Walaupun tidak menyumbang secara kewangan kepada ansuran rumah, sumbangan domestik beliau diiktiraf di sisi undang-undang, sekali gus membolehkan aset tersebut dibahagikan secara adil.
“Kami berjaya memperoleh keputusan yang membolehkannya (wanita itu) meneruskan kehidupan.
“Inilah peranan kami dalam memastikan setiap sumbangan, termasuk pengorbanan seorang suri rumah, diiktiraf di sisi undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan buat mereka yang memerlukan.”
“
“Kes keluarga dan Syariah menuntut ketahanan emosi kerana ia melibatkan aspek kehidupan peribadi yang amat mendalam. Klien selalunya berdepan konflik, ketidaktentuan dan perubahan besar pada masa yang sama. Seorang peguam perlu kekal tenang dan bersikap berkecuali walaupun keadaan sekeliling sarat dengan emosi. Pemikiran yang jelas serta nasihat yang berhemah amat penting dalam perkara sebegini kerana emosi yang memuncak boleh merumitkan proses membuat keputusan.”
