Topic followed successfully
Go to BHkuPelajar reka bentuk cipta bilik darjah untuk galak murid jadi lebih tenang, berdikari
Pelajar reka bentuk cipta bilik darjah untuk galak murid jadi lebih tenang, berdikari
Pelajar reka bentuk cipta bilik darjah untuk galak murid jadi lebih tenang, berdikari
Prihatin melihat beban akademik yang kian membelenggu murid sekolah rendah, pelajar reka bentuk dalaman, Cik Syazmira Samsaimond, menyahut cabaran untuk merombak reka bentuk bilik darjah dan ruang pembelajaran.
Selama lapan bulan, dari Julai 2025 hingga Februari 2026, pelajar berusia 20 tahun itu gigih menjalankan penyelidikan di sebuah sekolah rendah di Tampines. Beliau mendapatkan pandangan guru, bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Pusat Pengalaman Pengguna SP (UXC).
Hasilnya lahirlah Kapsool, sebuah bilik darjah dan ruang pembelajaran yang dilengkapi ciri-ciri istimewa. Persekitaran Kapsool direka untuk meredakan tekanan, memupuk pembelajaran kendiri, dan meningkatkan kesejahteraan murid.
Menerusi Kapsool, beliau berharap dapat membantu murid membina daya ketahanan dan ketenangan diri sejak awal. Ini penting bagi menangani tekanan akademik dan mempersiapkan mereka menghadapi cabaran hidup yang lebih kompleks kelak.
Projek tahun akhir beliau merupakan antara 182 projek yang dipamerkan di acara akhir tahun Sekolah Seni Bina dan Alam Binaan (ABE) Politeknik Singapura, yang berlangsung pada 12, 13 dan 16 Mac.
Pameran tersebut memaparkan pelbagai reka bentuk inovatif pelajar ABE yang berpotensi memberi impak kepada masyarakat dan kehidupan.
Cik Syazmira memberitahu Berita Harian (BH), semangatnya tercetus selepas menemubual pihak sekolah dan membaca banyak artikel mengenai tekanan akademik yang dihadapi murid.
Kebimbangan ini juga berpunca daripada pengalamannya sendiri menguruskan tekanan sebagai pelajar reka bentuk dalaman yang jauh lebih mencabar.
“Dalam dunia yang pesat berubah, saya rasa penting untuk mengajar anak muda mengurus tekanan dari usia awal. Kemahiran ini sukar dipelajari jika sudah meningkat usia.
“Justeru, saya bertekad mencipta ruang baharu yang menggalakkan mereka berdikari, kreatif, dan berani mencuba,” ujarnya.
Beliau juga berharap reka bentuknya dapat menyediakan murid untuk mengharungi masa hadapan yang penuh ketidaktentuan.
“Saya juga berharap mereka dapat menikmati keseronokkan belajar tanpa berasa begitu terbeban oleh tekanan akademik atau peperiksaan,” tambahnya.
Bagi merealisasikan misinya, Cik Syazmira mengkaji semula pendekatan pembelajaran lebih sedekad lalu, mengambil inspirasi daripada kurikulum dan reka bentuk bilik darjah di Sweden dan China.
Dalam memperkenalkan fungsi baharu untuk memperluas keberkesanan ruang pembelajaran masa hadapan, Cik Syazmira tetap berhati-hati mengekalkan unsur pembelajaran formal selaras dengan nilai teras MOE.
Menurut laman web MOE, ia merangkumi nilai yang mendidik murid mengawal emosi dengan cekap, bertanggungjawab, serta berfikiran kritis dan rasional dalam menangani isu dan peluang dalam dunia yang terus berkembang
Cik Syazmira mengekalkan bilik darjah sebagai ruang untuk pembelajaran rasmi, namun melengkapkannya dengan pelbagai kemudahan yang membolehkan murid-murid mengawal emosi dan tekanan.
“Misalnya, saya memperkenalkan beberapa ruang khas untuk pelajar meredakan tekanan, yang boleh digunakan selepas mereka menyelesaikan tugasa,” jelasnya.
Ruang pembelajaran bersebelahan dengan bilik darjah pula lebih luas dan menggalakkan pembelajaran secara lebih kreatif dan kendiri.
Antara ciri-cirinya ialah ruang dan teknologi untuk pembelajaran berasaskan permainan (gamifikasi) serta aktiviti berkumpulan.
Zon-zon ini, bersama penggunaan teknologi terkini seperti peranti pembelajaran peribadi, turut memberikan guru-guru lebih kebebasan untuk melaksanakan tugas pentadbiran dan mengajar dengan lebih berkesan.
“Saya juga berharap reka bentuk ini menggalakkan pelajar muda belajar dengan lebih seronok, tanpa rasa terlalu bimbang oleh tekanan peperiksaan atau akademik,” tambahnya.
Namun, Cik Syazmira mengakui, melengkapkan pelbagai kemudahan dalam rekaannya membawa pelbagai cabaran.
Dengan bimbingan pensyarah, beliau berjaya mengenal pasti isu utama dan menghasilkan reka bentuk yang memenuhi keperluan sosial serta kesejahteraan pelajar.
Sesudah menghasilkan projek sebesar itu, Cik Syazmira bukan sahaja lebih yakin dalam kemahirannya reka bentuk dalamannya, tetapi juga lebih terpanggil untuk menyumbang kepada perkembangan masyarakat.
“Di mana ada ruang untuk pembaikan, kita harus berikhtiar dan berani mencetuskan perubahan.
“Saya juga bersyukur dapat melihat niat setiap pelajar untuk membawa kesan kepada masyarakat. Di sebalik setiap projek tersirat latar belakang yang sangat menarik,” katanya.
Buat masa ini, beliau ingin menimba pengalaman kerja sebelum meneruskan pengajian di universiti.
Bagaimanapun, Cik Syazmira sudah mempertimbangkan pengajian lanjut di Sekolah Media, Reka Bentuk dan Seni di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

