Dua remaja yang dirakam berkelahi di pusat membeli-belah Northpoint City di Yishun telah dikenakan kaunseling.

Dalam satu video selama 38 saat yang dikongsi dalam kumpulan Telegram Sgfollowsall pada 6 Oktober, dua remaja – seorang berbaju biru gelap dan seorang lagi berbaju merah – dilihat bertumbuk dan menolak antara satu sama lain.

Menukil laporan Shin Min Daily News, kejadian itu dipercayai berlaku di tingkat tiga pusat membeli-belah tersebut.

Pada penghujung video itu, seorang lelaki dalam lingkungan usia 40-an dilihat memisahkan remaja terbabit bagi menghentikan perkelahian itu.

Menurut laporan itu lagi, kedua-dua remaja terbabit dikenal pasti sebagai pelajar dari Sekolah Chung Cheng High (Yishun).

Laporan itu menambah sekolah itu sedia maklum tentang kejadian tersebut dan kedua-dua remaja tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sekolah tersebut juga sudah membuat langkah susulan ke atas kesejahteraan pelajar terlibat dan telah memberikan kaunseling supaya mereka bermuhasabah atas tindakan mereka itu.