Pelajar S’pura di Timur Tengah kekal tenang, pengajian diteruskan
Pelajar S’pura di Timur Tengah kekal tenang, pengajian diteruskan
Walaupun laporan mengenai pemintasan dron di ruang udara Teluk telah tersebar sejak 28 Februari lalu, sebilangan pelajar Singapura di sana tetap tenang dan optimis keadaan akan stabil.
Antara mereka ialah Encik Jabir Mohd Kamal, 22 tahun, pelajar tahun akhir Universiti Kuwait yang kini tinggal di asrama kampus bersama lima rakan senegara.
“Memang ada konflik, jadi saya tidak boleh kata kami benar-benar selamat.
“Tetapi saya yakin dengan cara pihak berkuasa tempatan menguruskan situasi ini,” katanya.
Beliau belum merancang untuk kembali ke Singapura, walaupun telah dihubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Keadaan yang dihadapi Encik Jabir tercetus ekoran rentetan ketegangan baharu di Timur Tengah menyusuli serangan awal Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari.
Sejak itu, kelas di universiti dijalankan secara dalam talian, dan beliau bersama pelajar lain dinasihatkan supaya kekal berada dalam kawasan asrama.
Rondaan keselamatan kampus juga dipertingkat, dengan pegawai keselamatan memantau pergerakan keluar masuk pelajar.
Encik Jabir turut berkongsi bahawa siren kecemasan mula berbunyi berulang kali di beberapa kawasan di Kuwait sekitar 12.30 tengah hari (waktu tempatan) pada 28 Februari, sebelum berita mengenai penutupan ruang udara lapangan terbang diterima.
Namun ujar beliau, keadaan masih terkawal meskipun ia menimbulkan rasa cemas pada awalnya.
Ini merupakan antara sentimen yang dikongsi lebih 40 pelajar Singapura di Timur Tengah semasa sesi dalam talian bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 4 Mac.
Dalam hantaran di Facebook pada 5 Mac, Dr Faishal menyatakan beliau berasa lega kerana gangguan terhadap pengajian para pelajar di sana setakat ini adalah minimum.
“Para pelajar turut berkongsi kebimbangan mereka, namun mereka menunjukkan ketabahan dalam menangani situasi yang tidak menentu.
“Saya terharu apabila mendengar bahawa mereka terus menjaga keselamatan diri dan kekal memberi tumpuan pada pengajian mereka.
“Saya memberi jaminan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan kami, dan kami bersedia untuk membantu,” katanya.
Dr Faishal turut menambah Singapura sedang memantau perkembangan di rantau tersebut dengan teliti.
Beliau berkata pihak MFA bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kini berhubung rapat dengan para pelajar bagi menyalurkan bantuan sekiranya diperlukan.
“Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO) Muis di rantau tersebut sedang bekerjasama rapat dengan Kedutaan Singapura di bawah MFA dan sentiasa berhubung dengan para pelajar Singapura untuk memberikan panduan serta sokongan yang diperlukan,” katanya.
Di samping itu, beliau turut menggalakkan para pelajar supaya sentiasa memaklumkan keadaan mereka kepada keluarga serta mengikuti nasihat keselamatan terkini.
Langkah itu juga antara yang dilakukan pelajar tahun ketiga Universiti Yarmouk di Jordan, Cik Siti Nur Fatimah Abdul Rashid.
Pelajar berusia 22 tahun itu berkata beliau segera menghubungi keluarganya di Singapura apabila siren amaran mula kedengaran sejak 28 Februari lalu.
Menurutnya, kehidupan harian pelajar di sana masih berjalan seperti biasa, meskipun siren kedengaran beberapa kali sehari, susulan peluru berpandu yang melintasi ruang udara Jordan.
“Hampir setiap hari kami mendengar siren amaran. Namun begitu, kegiatan akademik di universiti di sini tidak banyak terjejas.
“Kami masih meneruskan kelas seperti biasa dan hanya keluar jika benar-benar perlu,” katanya.
“
“Para pelajar turut berkongsi kebimbangan mereka, namun mereka menunjukkan ketabahan dalam menangani situasi yang tidak menentu... Saya memberi jaminan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan kami, dan kami bersedia untuk membantu.”“
“Hampir setiap hari kami mendengar siren amaran. Namun begitu, kegiatan akademik di universiti di sini tidak banyak terjejas. Kami masih meneruskan kelas seperti biasa dan hanya keluar jika benar-benar perlu.”
