Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon veteran Pon Bachik meninggal dunia

Jul 25, 2024 | 7:55 PM
Pelakon veteran Singapura, Cik Ponisah Bachik, menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai. Suaminya, Allahyarham Mahfudz Abdul Majid, juga pelakon mapan, meninggal dunia pada 15 Julai lalu.
Pelakon veteran Singapura, Cik Ponisah Bachik, menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai. Suaminya, Allahyarham Mahfudz Abdul Majid, juga pelakon mapan, meninggal dunia pada 15 Julai lalu. - Foto ST

Hanya 10 hari selepas suaminya, Allahyarham Mahfudz Abdul Majid, meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 15 Julai lalu, isterinya, seniwati Ponisah Bachik, pula menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai, pada 3.10 petang.

Allahyarhamha berusia 79 tahun.

Pemergian seniwati mapan disahkan oleh cucunya, Anis Qurratu’aini Azman, sewaktu dihubungi Berita Harian (BH).

“Sebelum ini, arwah nenek sakit biasa tetapi tidaklah sampai membimbangkan keluarga.

“Waktu arwah datuk Mahfudz sakit, neneklah yang sentiasa prihatin akan kesejahteraan atuk,” kongsi beliau.

Cik Anis berkongsi, neneknya meninggal dunia akibat penyakit leukemia.

Sebelum ini, beliau tinggal bersama anak ketiga beliau, yang juga pelakon, Marsilah Mahfudz.

“Sejak arwah atuk meninggal minggu lepas (15 Julai), sakit nenek mula membimbangkan kami. Jangkitan paru-paru, pneumonia dan masalah keseimbangan darah putih dan merahnya agak kritikal sejak semalam (24 Julai),” jelas beliau.

“Hari ini (25 Julai), nenek menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang, dikelilingi anak dan cucu pada 3.10 petang tadi,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, jenazah akan dibawa ke rumah mak ciknya di kawasan Admiralty, dan hanya akan dikebumikan pada 26 Julai.

Maklumat mengenai solat jenazah dan waktu pengebumian belum ditentukan lagi.

Allahyarhamha mula berkecimpung dalam bidang seni sejak 1960-an.

Sumbangannya dan kecemerlangan beliau dalam bidang lakonan drama disegani.

Allahyarhamha pernah meraih Anugerah Perdana Emas semasa Pesta Perdana 13 pada 2015.

Malah, keluarga beliau juga giat dalam dunia seni sejak dulu lagi.

Abangnya, Allahyarham Datuk Ibrahim Bachik, merupakan komposer veteran yang bergiat dalam seni muzik.

Seorang lagi abangnya, Allahyarham Salim Bachik, ialah pelakon terkenal dalam lakonan pentas dan televisyen, terutama dalam siri Pak Awang Temberang, terbitan Radio Televisyen Singapura (RTS) yang amat popular pada 1960-an.

Beliau dan suaminya, Allahyarham Mahfudz, yang pernah berlakon dalam beberapa drama radio, televisyen dan pentas termasuk drama popular Wak Cantuk pada 1960-an, dikurniakan empat orang anak.

Bagi Allahyarhamha Pon Bachik pula, beliau memang aktif dalam bidang tarian bersama kumpulan Sriwana, sebelum beralih ke bidang lakonan di radio, pentas bangsawan dan akhirnya di kaca televisyen dalam pelbagai drama Melayu.

Pada 1964, Allahyarhamha telah menjalani sesi uji bakat bagi rancangan Sandiwara Radio terbitan mantan Penolong Naib Presiden Warna/Ria, Encik Hashim Yusof.

Daripada 300 orang yang menjalani sesi uji bakat, beliau merupakan antara dua yang terpilih.

Hingga kini, tiga daripada empat anaknya, Marsilah, Mahyonis Mahfudz dan Sahfuddin Mahfudz, dan juga dua menantunya, Jasmi Ahmad Dali (suami Marsilah) dan Azman Shariff (suami Mahyonis), merupakan pelakon.

Malah cucunya, Anis, anak kepada Mahyonis dan Azman, juga berkecimpung dalam bidang seni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg