Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemergian individu berwawasan yang sukar dicari ganti

Jun 25, 2024 | 8:03 PM
Jenazah Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd diusung keluar oleh jemaah yang hadir di Masjid Ba’alwie selepas solat zuhur pada 25 Jun sebelum dibawa ke Pusara Aman untuk dikebumikan. Berusia 66 tahun, mantan Setiausaha Parlimen Kanan itu meninggal dunia pada 24 Jun akibat serangan jantung.
Jenazah Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd diusung keluar oleh jemaah yang hadir di Masjid Ba’alwie selepas solat zuhur pada 25 Jun sebelum dibawa ke Pusara Aman untuk dikebumikan. Berusia 66 tahun, mantan Setiausaha Parlimen Kanan itu meninggal dunia pada 24 Jun akibat serangan jantung. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohd disifatkan ramai sebagai seorang yang berwawasan dan memikirkan kesejahteraan masyarakat.

Beliau meninggal dunia pada 24 Jun akibat serangan jantung pada usia 66 tahun dan dikebumikan di Pusara Aman selepas 2 petang pada 25 Jun.

Lebih 100 tetamu, termasuk beberapa pemimpin akar umbi dan masyarakat, hadir untuk memberikan penghormatan terakhir di kediaman arwah di Tampines Street 33 pada 25 Jun, sebelum jenazah dibawa ke Masjid Ba’alwie untuk disolatkan.

Antara yang hadir ialah mantan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo.

Beliau merupakan rakan seangkatan ketika arwah menyandang jawatan terakhir sebagai Setiausaha Parlimen Kanan sebelum Allahyarham bersara daripada arena politik pada 2006.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui, Encik Yeo berkata wawasan Allahyarham boleh dikaitkan kepada pendedahan yang beliau peroleh sebagai wartawan dan Penolong Editor BH.

Ini di samping sikapnya yang suka membaca, tambah beliau.

Encik Yeo menjelaskan bahawa wawasan inilah yang membentuk buah fikiran dan penjanaan idea dalam sesuatu perbualan.

“Saya mendapati beliau seorang yang sangat berwawasan, dapat menganalisis situasi dengan baik dan memberikan nasihat bernas.

“Arwah seorang yang berterus terang… dan mempunyai (pemikiran) minda yang luas, memandangkan latar belakangnya sebagai wartawan BH sebelum ini.

“Tidak kira topiknya adalah berkenaan isu politik tempatan atau hubungan dua hala dengan negara lain, pandangannya sangat bermakna bagi saya,” ujarnya.

Wawasan tinggi arwah turut menjadi teladan buat Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Dalam satu catatan Facebook pada 24 Jun, Encik Zaqy menyifatkan Allahyarham sebagai pengaruh awal beliau untuk berkecimpung dalam khidmat kemasyarakatan.

Menurutnya, beliau berpeluang mempelajari selok-belok kepimpinan dan perkhidmatan sebelum menyertai politik pada 2006 daripada Allahyarham dalam Divisyen Kampong Ubi.

“Arwah telah menjadi pengaruh awal yang teguh di kala saya memulakan khidmat kemasyarakatan saya dengan mengendalikan isi rumah berpendapatan rendah di Geylang Serai, dan seterusnya mengurus peralihan pasar Geylang Serai yang lama kepada apa yang sudah dibangunkan sekarang,” jelas Encik Zaqy.

“Allahyarham Maidin telah memberikan sumbangan yang tidak terhingga kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang kerjayanya.

“Beliau memperjuangkan kepentingan masyarakat Melayu/Islam dan bekerja tanpa jemu untuk meningkatkan kesejahteraan mereka.

“Kepimpinan beliau sebagai Penolong Editor BH, serta Timbalan Pengarah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menguatkan lagi suara masyarakat Melayu/Islam.”

Sentimen sedemikian turut dikongsi Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam satu catatan Facebook pada 25 Jun, Dr Faishal menyifatkan kepergian arwah sebagai kehilangan yang tiada gantinya.

Beliau mengambil alih jawatan Allahyarham sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade bagi divisyen Kampong Ubi pada 2006 – pertama kali Dr Faishal berkecimpung dalam arena politik.

“Saya masih ingat lagi saat-saat pertama saya diperkenalkan dan menyantuni penduduk Divisyen Kampong Ubi.

“Semasa sesi interaksi dan jelajah mesra, saya sedar arwah sangat disukai penduduknya,” kata beliau.

Dr Faishal menambah, semasa mengendalikan dua portfolio di bawah Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Dalam Negeri (MHA), Allahyarham merupakan antara tonggak yang “mempromosikan bahasa Melayu dan membantu dengan pemulihan dan penyepaduan semula bekas banduan”.

Keperibadian yang ditonjolkan Allahyarham Maidin juga dirasakan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang hadir di kediaman arwah dan Masjid Ba’alwie untuk memberi penghormatan kepadanya.

Ketika ditemui, beliau berkongsi bahawa arwah tidak lokek dalam memberikan maklum balas dan perkongsian, lebih-lebih lagi kepada anggota yang baru berjinak-jinak dalam bidang kemasyarakatan.

Dalam pertemuan akhir beliau bersama Allahyarham di Masjid Ba’alwie pada April semasa Ramadan, arwah berkongsi cara-cara yang boleh diterapkan untuk bekerjasama dengan masyarakat dengan lebih berkesan.

Sementara itu semasa berucap selepas solat jenazah, mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) dan mantan Editor BH, Encik Zainul Abidin Rasheed, menjelaskan arwah berhati nurani.

Beliau berkata: “Jiwa yang ditunjukkan Allahyarham sungguh istimewa. Jiwa yang bukan sahaja mahu menyumbang kepada masyarakat, tetapi arwah juga mempunyai cara tersendiri dan berhati murni. 

“Hati suci yang mementingkan kepentingan, keperluan dan kemajuan masyarakat Melayu/Islam dan Singapura secara amnya.”

Mentelah ketika ditemui selepas solat jenazah, Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas, menyifatkan arwah sebagai seorang yang ikhlas dalam membuat sesuatu dan “sentiasa memikirkan tentang masyarakat”.

Beliau berkongsi bahawa arwah merupakan antara tulang belakang yang menggembleng lebih 120 pertubuhan agama bagi mengutuk tindakan pengganas secara bersama apabila rancangan Jemaah Islamiah (JI) untuk menyerang Singapura dibongkar dan dipatahkan pada 2001.

Sambil menahan sebak semasa memberikan ucapan selepas mengimamkan solat jenazah arwah di Masjid Ba’alwie, Habib Hassan berkata:

“Beliau (arwah) orang pertama yang saya kongsi untuk kutuk serangan oleh pengganas. Beliau memberikan sokongan penuh. Islam adalah agama kedamaian.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg