Encik Muhammad Azuan Suid menantikan peluang menyaksikan ibadah korbannya dilaksanakan secara langsung di sebuah masjid di Sembawang sempena Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian selepas kelewatan ketibaan haiwan korban dari Australia menyebabkan penyembelihan secara langsung yang dirancang di Masjid Petempatan Melayu Sembawang tidak dapat dijalankan.

Beliau merupakan antara individu yang melakukan ibadah korban atau sohibul korban yang terjejas susulan pengendali tempatan, The Meat Brothers (TMB), tidak dapat membawa masuk haiwan korban ternakan dari Australia tepat pada waktunya bagi ibadah korban musim ini.

Ia disebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan permit eksport yang diperlukan daripada pihak berkuasa Australia.

Masjid lain yang terjejas adalah Masjid Al-Firdaus, Masjid Pusara Aman, dan sebahagian daripada bekalan haiwan korban di Masjid Jamae Chulia.

Encik Muhammad Azuan memberitahu Berita Harian (BH), beliau mula mengetahui mengenai perkara tersebut menerusi butiran terkini di media sosial seperti daripada media tempatan dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebelum melihat pengesahan lanjut menerusi hantaran Facebook TMB.

“Pada mulanya saya tidak terlalu bimbang kerana beberapa tahun sebelum ini perkara yang sama pernah berlaku di mana terdapat kelewatan, tetapi haiwan korban masih sempat tiba pada hari terakhir Tasyrik.

“Selepas itu, saya menunggu maklumat lanjut dan mula melihat berita mengenai pembatalan menerusi kemas kini Muis di Facebook.

“Tidak lama kemudian, saya semak laman Facebook TMB dan mendapati ia disahkan telah dibatalkan,” ujarnya yang tinggal di Sembawang.

Dalam satu hantaran Facebook TMB pada 23 Mei, TMB berkata ia akan menawarkan pilihan alternatif kepada pelaku korban yang terjejas.

Secara khusus, terdapat tiga pilihan disediakan, iaitu ibadah korban dijalankan di Australia dengan daging dihantar terus kepada sohibul korban; korban dilaksanakan di Medan, Indonesia, melalui rakan kongsi yang dipercayai dengan daging diagihkan kepada asnaf serta masyarakat setempat; atau pemulangan penuh bayaran.

Menyentuh tentang pilihan tersebut, Encik Muhammad Azuan berkata beliau memilih untuk mendapatkan bayaran balik sepenuhnya.

“Niat saya apabila saya daftar untuk korban di Singapura adalah untuk menghidupkan syiar korban, sekurang-kurangnya orang boleh nampak bahawa ‘Oh, ada semangat korban di Singapura’.

“Sebab inilah, saya mengambil keputusan untuk ambil pemulangan wang sepenuhnya sebab sudah tidak ada lagi korban (kambing biri-biri TMB) di Singapura.

“Kalau di luar negara pun saya buat juga. Oleh itu, kalau di Singapura tak jadi saya okey.” katanya yang juga melaksanakan ibadah korban di luar negara melibatkan kambing di Uganda pada tahun ini (2026).

Setakat ini, beliau masih menantikan jawapan e-mel daripada pihak TMB mengenai permintaannya untuk mendapat bayaran balik.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati seorang lagi pengendali, AgroMaster, menerima 20 pertanyaan daripada pelanggan yang terjejas dengan kejadian korban TMB untuk beralih kepada bekalan kambing yang akan disediakan pengendali tersebut di Masjid Jamae Chulia.

“Kami menerima 20 pelaku korban yang menukar daripada kambing biri-biri kepada kambing. Para pelaku ini tidak keberatan dengan kos tambahan,” kata rakan perniagaan AgroMaster, Encik Naziri Eunos, apabila dihubungi BH.

Antara 20 sohibul korban tersebut termasuk peserta daripada Masjid Jamae Chulia serta orang awam.

Encik Naziri menambah bahawa AgroMaster telah menyediakan tiga pilihan kepada sohibul korban iaitu melakukan korban di luar negara; menukar kepada kambing untuk korban secara langsung di Masjid Jamae Chulia; atau menerima pemulangan wang.

“Kami menyediakan pilihan ini kerana kami mampu berbuat demikian, kami juga menjalankan korban di luar negara di Medan, Indonesia.

“Kami tidak mahu mengecewakan umat Islam yang telah lama menantikan ibadah korban ini.

“Saya juga menasihatkan pelaku korban yang menghubungi saya supaya tidak marah, sebaliknya mengambil ini sebagai ujian daripada Allah dan reda,” ujarnya.

Sementara sebahagian sohibul korban memilih untuk membuat tuntutan pemulangan wang, sebahagian pula mencari alternatif sebaik sahaja dimaklumkan mengenai keadaan berkenaan korban TMB itu.

Cik Siti Hamidah Abdul Gapor, 58 tahun, yang juga dihubungi BH, berkongsi bahawa beliau memilih untuk menukar tempahan daripada dua ekor kambing biri-biri kepada dua ekor kambing biasa anjuran AgroMaster.

“Saya menempah melalui AgroMaster untuk dua ekor kambing biri-biri dari Australia yang diperoleh melalui TMB.

“TMB membekalkan haiwan tersebut kepada mereka, selain kambing milik AgroMaster sendiri dari Hay Dairies,” jelasnya yang merupakan suri rumah.

Ia dilaksanakan dengan hanya membayar perbezaan kos selepas perubahan tersebut.

Perbezaan kos antara kededua pilihan itu agak ketara, dengan dua ekor kambing biri-biri berharga $655 seekor, menjadikan jumlah $1,310, manakala dua ekor kambing pula berharga $1,400 seekor dengan jumlah $2,800, sekali gus menghasilkan perbezaan harga sebanyak $1,490.

Kambing yang dibekalkan oleh syarikat pengendali korban, AgroMaster, di ladang kambing Hay Dairies.
Kambing yang dibekalkan oleh syarikat pengendali korban, AgroMaster, di ladang kambing Hay Dairies. - Foto SITI HAMIDAH ABDUL GAPOR

Walaupun kos lebih tinggi, Cik Hamidah berkata beliau masih mahu meneruskan pengalaman ibadah korban secara langsung di Singapura kerana ia memberikan kepuasan rohani.

“Ia untuk bekalan hari akhirat. Ada kepuasan apabila melihat haiwan korban disembelih di depan kita dengan laungan takbir. Kita dapat sentuh dan rasa sendiri (haiwan korban),” katanya.

Beliau menambah bahawa pengalaman dan suasana menyaksikan korban secara langsung merupakan sesuatu yang bermakna dan sukar digantikan.

“Ia untuk bekalan hari akhirat. Ada kepuasan apabila melihat haiwan korban disembelih di depan kita dengan laungan takbir. Kita dapat sentuh dan rasa sendiri (haiwan korban).”
Cik Siti Hamidah Abdul Gapor, ‘sohibul’ ibadah korban yang terjejas dan mencari alternatif lain.

“Niat saya apabila saya daftar untuk korban di Singapura adalah untuk menghidupkan syiar korban... Sebab inilah, saya mengambil keputusan untuk ambil pemulangan wang sepenuhnya sebab sudah tidak ada lagi korban (kambing biri-biri TMB) di Singapura. Kalau di luar negara pun saya buat juga. Oleh itu, kalau di Singapura tak jadi saya okey.”
Encik Muhammad Azuan Suid, ‘sohibul’ ibadah korban yang terjejas.