Golongan muda Singapura akan mempunyai lebih banyak peluang meneroka pelbagai kerjaya dan industri.

Langkah itu boleh dicapai menerusi pelan nasional lima tahun yang baharu bagi membantu golongan tersebut mengemudi kerjaya, jalinan persahabatan serta pembangunan diri.

Pelan yang diumumkan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, di Forum Belia SG di Pusat Konvensyen Suntec City, menyasarkan untuk menjangkau sekurang-kurangnya 500,000 belia yang berumur antara 15 dengan 35 tahun.

“Kita bermula dari landasan yang kukuh. Dan kita boleh memanfaatkan sepenuhnya pendedahan serta pengetahuan lebih luas golongan belia masa kini berbanding generasi terdahulu,” ujar Tuan Presiden.

Sehingga 30,000 peluang pengalaman kerja jangka pendek – yang berlangsung antara separuh hari hingga beberapa minggu – akan ditawarkan setiap tahun menjelang 2030.

Ia bagi membolehkan golongan muda melalui sendiri pengalaman di tempat kerja dan dalam pelbagai industri.

Sebagai permulaan, lebih 10,000 peluang seumpama itu akan disediakan pada 2026.

Inisiatif lain termasuk program kehidupan berdikari; usaha menggalakkan golongan belia menceburi minat dan hobi bukan akademik; program ‘Adulting 101’; serta peningkatan dana bagi projek yang diterajui oleh belia.

Langkah itu diperkenalkan di tengah-tengah kebimbangan yang kian meningkat dalam kalangan golongan muda mengenai prospek kerjaya serta kesan perubahan teknologi terhadap pekerjaan.

Tujuannya adalah untuk membina keyakinan dan daya tahan dalam diri golongan muda Singapura, serta membantu mereka menjalin hubungan sosial dan menyumbang kepada masyarakat.

Dalam merangka pelan tersebut, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Belia Kebangsaan (NYC), telah melibatkan lebih 60,000 belia antara November 2024 dengan Mac 2026.

Ia merangkumi pelbagai kaedah seperti sesi dialog, siri jelajah dan penglibatan secara digital.

Para peserta merupakan anak muda daripada pelbagai institusi – peringkat sekolah menengah sehingga madrasah – serta mempunyai latar belakang yang pelbagai.

Maklum balas daripada mereka yang terlibat menunjukkan 76 peratus berasa yakin terhadap masa depan Singapura, namun hanya 66 peratus berasa sedemikian mengenai masa depan mereka sendiri.

Walaupun 91 peratus berhasrat memiliki kerjaya yang bermakna, 52 peratus bimbang mereka kekurangan kemahiran untuk mengikuti rentak ekonomi yang pantas berubah.

Sementara itu, kira-kira 500 daripada peluang mencuba pekerjaan atau ‘job tasters’ akan disediakan dalam sektor awam dan terbuka kepada golongan muda berusia 15 tahun ke atas, termasuk mereka yang menuntut di maktab rendah, prauniversiti, politeknik, dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Golongan muda boleh mencuba lebih daripada satu pengalaman kerja berdasarkan minat mereka.

Selain peluang mencuba pekerjaan, NYC akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan sehingga 20,000 peluang bimbingan, sekali gus memberi akses kepada golongan muda untuk berinteraksi dengan individu yang boleh berkongsi wawasan mengenai pendidikan dan kerjaya.

Bilangan mentor akan ditingkatkan daripada lebih 1,000 kepada 5,000 menjelang 2030.

Pada separuh kedua 2026, pelajar institusi pengajian tinggi akan mengikuti program, ‘Adulting 101’, yang menumpukan kepada peralihan penting dalam kehidupan dewasa.

Program itu akan merangkumi topik seperti kecelikan kewangan, penjagaan kesihatan, pemilikan rumah, kerjaya, hubungan serta perkahwinan.

Inisiatif itu diperkenalkan memandangkan ramai golongan muda mengenal pasti proses menjadi dewasa – khususnya dalam mengharungi peralihan besar kehidupan – sebagai salah satu daripada tiga punca utama tekanan bagi mereka.

Kredit ingin tahu atau ‘Curiosity Credit’ bernilai $500 juga akan diberikan kepada golongan muda berusia antara 13 dengan 17 tahun yang mendapat sokongan daripada kumpulan bantu diri, seperti Mendaki, bagi menggalakkan mereka meneroka bidang di luar akademik.