Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman terapeutik Hospital Woodlands suntik ketenangan buat pengunjung, pesakit

Dec 22, 2023 | 6:30 PM
PERSEKITARAN TENANG: Taman terapeutik terbesar Lembaga Taman Negara (NParks), Taman Penyembuhan Woodlands, disepadukan dengan Hospital Woodlands bertujuan memperbaiki kesejahteraan diri pengunjung.
PERSEKITARAN TENANG: Taman terapeutik terbesar Lembaga Taman Negara (NParks), Taman Penyembuhan Woodlands, disepadukan dengan Hospital Woodlands bertujuan memperbaiki kesejahteraan diri pengunjung. - Foto NPARKS

Satu taman terapeutik baru, dibina dengan tujuan untuk memperbaiki kesejahteraan diri pengunjung dan disepadukan dengan Hospital Woodlands baru, telah dibuka pada 22 Disember.

Berkeluasan 1.5 hektar, kira-kira seluas dua padang bola sepak, Taman Penyembuhan Woodlands merupakan taman terapeutik ke-14 yang dibina Lembaga Taman Negara (NParks).

Ia juga merupakan taman terapeutik terbesar dalam rangkaian taman terapeutik NParks dan ialah taman pertama untuk disepadukan dengan hospital.

Dalam satu kenyataan, NParks berkata taman itu dibina dengan rundingan rapat bersama Hospital Woodlands. Ia mengambil kira pelbagai ciri yang memberi peluang kepada pengunjung dan pesakit menikmati kehijauan dan ketenangan yang ditawarkan taman itu bagi manfaat penyembuhan dan pemulihan mental, emosi dan fizikal.

Hampir lima kali ganda saiz taman terapeutik terbesar di Taman Tasik Jurong, Taman Penyembuhan Woodlands dibahagikan kepada empat zon dengan ciri unik untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna yang berbeza.

UNTUK KANAK-KANAK: Salah satu daripada empat zon Taman Penyembuhan Woodlands, dipanggil Taman Permainan Alam, direka bentuk untuk merangsang kreativiti dan menggalak permainan imaginatif di kalangan kanak-kanak.
UNTUK KANAK-KANAK: Salah satu daripada empat zon Taman Penyembuhan Woodlands, dipanggil Taman Permainan Alam, direka bentuk untuk merangsang kreativiti dan menggalak permainan imaginatif di kalangan kanak-kanak. - Foto NPARKS

Dua zon pertama, Taman Permainan Alam, serta Halaman Kegiatan dan Kesejahteraan, direka bentuk untuk memudahkan interaksi sosial antara pengunjung melalui ruang kegiatan, taman bertema dan kawasan permainan.

Terletak di sebelah pintu masuk utama Taman Penyembuhan Woodlands di sepanjang Woodlands Drive 17, Taman Permainan Alam, yang seluas 593 meter persegi mengandungi ciri-ciri yang diperbuat daripada batu, kayu dan pasir, seperti tangga kayu, tangga batu dan hutan buluh untuk merangsang kreativiti dan menggalak permainan imaginatif di kalangan kanak-kanak.

Halaman Kegiatan dan Kesejahteraan terletak lebih dekat dengan kawasan sekolah dan perumahan dan tidak menghadap ke arah hospital bagi mengurangkan bunyi bising.

Halaman Kegiatan seluas 730 meter persegi dan Halaman Kesejahteraan seluas 1,100 meter persegi menggalak pengunjung untuk melakukan pelbagai kegiatan seperti bersembang, sekaligus mendorong perhubungan sosial dalam masyarakat.

PEMANDANGAN INDAH: Teres Bunga Liar, salah satu daripada empat zon Taman Penyembuhan Woodlands, ialah satu padang rumput yang mengandungi bunga berwarna-warni, terletak sepanjang laluan menuju ke Hospital Woodlands.
PEMANDANGAN INDAH: Teres Bunga Liar, salah satu daripada empat zon Taman Penyembuhan Woodlands, ialah satu padang rumput yang mengandungi bunga berwarna-warni, terletak sepanjang laluan menuju ke Hospital Woodlands. - Foto NParks

Dua zon lain, Teres Bunga Liar dan Hutan Penyembuhan, bertujuan untuk menyediakan persekitaran yang tenang untuk meditasi dan berjalan santai.

Teres Bunga Liar, satu padang rumput yang mengandungi bunga berwarna-warni, terletak sepanjang laluan menuju ke hospital. Bunga-bunga di situ juga menarik kepelbagaian biologi seperti burung, lebah dan rama-rama, meningkatkan pengalaman pengunjung.

Hutan Penyembuhan pula, yang terletak di titik tertinggi Taman Penyembuhan Woodlands, memberikan pengunjung pemandangan luas keseluruhan taman itu.

Penyiapan Taman Penyembuhan Woodlands menambah kepada usaha NParks untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi memperkenalkan lebih banyak taman terapeutik di seluruh negara.

Projek taman itu telah menerima Anugerah Kecemerlangan di Anugerah Landskap Asia-Pasifik 2023 anjuran Persekutuan Arkitek Landskap Antarabangsa (IFLA) pada 17 November. Ia merupakan salah satu daripada 32 projek yang telah menerima anugerah itu, daripada sejumlah 83 projek antarabangsa di bawah kategori Taman dan Ruang Terbuka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg