Tahukah anda bahawa satu daripada dua warga Singapura yang berusia 65 tahun dijangka hidup melebihi 85 tahun*? Hakikatnya, ramai daripada kita berpeluang hidup lebih lama. Sekiranya hayat seseorang lebih panjang daripada jangkaan, kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung keperluan harian setelah bersara. Dengan anuiti sepanjang hayat, anda boleh menarik nafas lega atas pembayaran sepanjang hayat tersebut, dan terus menikmati ketenangan ketika meniti usia persaraan kelak.
CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia) ialah skim anuiti insurans seumur hidup yang menyediakan anda pembayaran bulanan dari usia 65 tahun ke atas tanpa mengira jangka hayat anda.
Apabila anda menyertai CPF LIFE, premium CPF LIFE akan ditolak daripada Akaun Persaraan (RA) anda dan akan terus meraih faedah. Faedah yang diraih daripada simpanan CPF LIFE anda turut dipertimbangkan dalam pembayaran bulanan, membolehkan anda menerima jumlah pembayaran lebih tinggi, sejak dari awal lagi.
Bagi menyediakan pembayaran sepanjang hayat, CPF LIFE berfungsi melalui pengumpulan risiko. Apabila salah seorang pencarum meninggal dunia, faedah yang tidak digunakan akan dikumpulkan dan dipindahkan kepada pembayaran bulanan bagi pencarum CPF LIFE yang masih hidup. Kaedah ini membolehkan pencarum terus menerima pembayaran, walaupun setelah premium dan faedah mereka sudah habis. Tiada siapa yang dapat meramal jangka hayat mereka. Oleh itu, setiap pencarum mempunyai risiko menghabiskan simpanan mereka dan berpeluang memanfaatkan faedah terkumpul bagi mengekalkan pembayaran bulanan mereka.
Teruskan membaca untuk mengetahui lanjut tentang CPF LIFE.
*Jangkaan hayat penduduk Singapura berusia 65 tahun pada tahun 2023 oleh SingStat.
Terdapat tiga pelan CPF LIFE – Pelan Penambahan, Pelan Standard dan Pelan Asas. Anda boleh memilih pelan yang paling sesuai untuk gaya hidup persaraan anda.
Jika anda ingin mengekalkan gaya hidup semasa dan ingin memiliki pelan yang membantu menangani inflasi, Pelan Penambahan menawarkan pembayaran lebih rendah tetapi meningkat sebanyak 2 peratus setiap tahun, seumur hidup anda.
Jika anda boleh mengamalkan gaya hidup yang lebih sederhana di samping peningkatan harga barangan, pilih Pelan Standard yang memberikan pembayaran bulanan lebih stabil seumur hidup. Jika anda boleh mengurangkan lagi perbelanjaan, anda boleh mempertimbangkan Pelan Asas yang menawarkan pembayaran lebih rendah, yang kemudiannya akan berkurangan secara progresif.
Tidak kira pelan mana yang anda pilih, premium CPF LIFE anda akan menikmati kadar faedah sehingga 6 peratus setahun. Faedah tersebut turut diambil kira dalam pembayaran bulanan anda sejak dari awal lagi.
Tiada jumlah minimum yang diperlukan dalam simpanan CPF sebelum anda menyertai CPF LIFE.
Rakyat Singapura atau penduduk tetap yang dilahirkan pada tahun 1958 atau selepasnya, yang mempunyai sekurang-kurangnya $60,000 dalam simpanan persaraan, apabila anda ingin memulakan pembayaran anda, akan disertakan dalam CPF LIFE secara automatik. Walau bagaimanapun, jika baki simpanan dalam RA anda rendah, pembayaran CPF LIFE anda turut rendah. Oleh itu, jika baki simpanan dalam RA anda rendah, mungkin anda ingin mempertimbangkan untuk membuat tokokan CPF sebelum menyertai CPF LIFE supaya anda dapat menerima pembayaran yang lebih tinggi kelak.
Pemerintah juga menyediakan pelbagai skim untuk mengembangkan tabung persaraan anda. Sebagai contoh, pemerintah membayar faedah tambahan ke atas $60,000 pertama baki akaun gabungan pencarum CPF, serta tambahan 1 peratus bagi $30,000 seterusnya untuk mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas. Selain itu, terdapat juga pelbagai skim seperti Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS) dan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), yang boleh digunakan untuk meningkatkan simpanan CPF anda dengan lebih cepat.
Sekiranya anda berhasrat mendapatkan jumlah pembayaran lebih tinggi, manfaatkan kuasa kadar faedah berkompaun dan pertimbangkan mana-mana atau gabungan perkara-perkara berikut:
Anda juga boleh menggunakan Alat Perancang CPF (CPF Planner) bagi mensimulasikan pemindahan CPF atau tokokan tunai untuk melihat bagaimana pembayaran anda boleh meningkat.
Sekiranya anda meninggal dunia sebelum pembayaran bulanan bermula dan anda telah membuat penamaan CPF, simpanan CPF anda diagihkan sepenuhnya kepada penama yang telah anda nyatakan.
Jika anda tidak mempunyai penama CPF yang sah, simpanan CPF anda akan dipindahkan ke Pemegang Amanah Awam (PT) untuk diagihkan mengikut undang-undang kematian tidak berwasiat atau pewarisan Muslim Singapura. PT boleh mengambil masa sehingga enam bulan untuk mengagihkan simpanan CPF anda kepada orang tersayang dan bayaran berkanun akan dikenakan.
Jika anda meninggal dunia setelah menerima pembayaran, premium CPF LIFE yang tidak digunakan (premium CPF LIFE ditolak jumlah pembayaran yang telah diterima), bersama baki simpanan CPF, akan turut diagihkan kepada penama anda menerusi cara yang sama.
Tidak. Jawatankuasa Undang-Undang (Fatwa) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah memutuskan bahawa setiap faedah yang dibayar oleh Lembaga CPF kepada anggota CPF bukan riba (iaitu keuntungan yang tidak adil, eksploitasi keuntungan hasil perdagangan atau perniagaan yang tidak halal), kerana ia bukan daripada pinjaman, hutang atau gadaian. Sebaliknya, ia merupakan pemberian tanpa syarat. Oleh itu, ia tidak haram.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg