Benefisiari boleh kena tunggu sehingga enam bulan dan boleh menjangka menerima kurang wang jika ahli keluarga yang meninggal dunia tidak membuat pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) semasa hayatnya.
Sebaliknya, tempoh menunggu adalah lebih pendek – kurang lima minggu – jika ahli keluar telah membuat pencalonan CPF, kata Lembaga CPF.
Jika pencarum CPF tidak membuat pencalonan CPF, Pemegang Amanah Awam (PT) akan mengagihkan wang simpanan CPF mereka mengikut undang-undang perwarisan harta pusaka tidak berwasiat, atau faraid untuk orang Islam.
“Bagi orang Islam, di bawah proses ini, waris perlu terlebih dahulu memohon Sijil Warisan si mati daripada Mahkamah Syariah dan menyediakan dokumen rasmi lain yang diperlukan.
“Mahkamah Syariah akan mengenakan bayaran pentadbiran untuk permohonan Sijil Warisan. Permohonan kemudiannya perlu dibuat kepada PT untuk pengeluaran dana.
“Proses pengagihan boleh mengambil masa sehingga enam bulan, dan yuran pentadbiran juga akan dikenakan oleh PT. Ini bermakna penerima akan mendapat wang simpanan CPF si mati yang kurang,” kata Lembaga CPF, menjawab pertanyaan BH.
Lembaga CPF berkata ia tidak dapat memberikan pecahan bilangan masyarakat Melayu/Islam yang masih belum membuat pencalonan CPF.
Namun ia berkata secara keseluruhan, lebih dua daripada lima pencarum CPF telah membuat pencalonan CPF.
Antara 2019 dengan 2023, ia telah memproses secara purata sekitar 126,000 permohonan pencalonan setiap tahun.
Lebih 75 peratus pencarum CPF berusia 65 tahun dan ke atas telah membuat pencalonan CPF. Secara perbandingan, 36 peratus pencarum CPF berusia 16 hingga 64 tahun telah membuat pencalonan CPF.
Pencalonan CPF membolehkan pencarum menetapkan benefisiari untuk menerima wang simpanan CPF dan jumlah yang diperuntuk untuk benefisiari itu apabila pencarum meninggal dunia.
Lembaga CPF berkata sebaik sahaja ia dimaklumkan tentang kematian ahli, ia akan menghubungi benefisiari mereka yang telah dicalon untuk membuat pengaturan agar mereka dapat menerima wang simpanan CPF si mati.
Pencalonan CPF meliputi wang simpanan CPF dalam Akaun Biasa, Khas, MediSave dan Persaraan ahli, sebarang premium CPF LIFE yang tidak digunakan dan saham Singtel yang didiskaun.
Ia menambah bahawa membuat pencalonan CPF bukanlah urusan sekali sahaja, dan ahli harus sentiasa menyemak dan mengemas kini pencalonan CPF mereka berdasarkan keperluan dan keadaan yang berubah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg