Beberapa kawasan kejiranan baru bakal dibina di kawasan seperti Dover, Defu, Newton dan Paterson yang akan menampilkan gabungan unit perumahan awam dan privet di seluruh negara.
Turut disertakan dalam perancangan ialah pembangunan ruang pejabat dan kemudahan baru di Bishan, lebih banyak taman di barat laut Singapura, serta hab masyarakat di Sengkang, Woodlands North dan Yio Chu Kang yang bakal dibangunkan berasaskan model Our Tampines Hub (OTH).
Butiran terperinci mengenai perancangan pembangunan itu didedahkan pada 25 Jun semasa pelancaran pameran Draf Pelan Induk 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang mengetengahkan pelan terkini sebagai panduan bagi pembangunan Singapura dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Selain kawasan perumahan dan kemudahan riadah baru, draf pelan induk itu turut mengandungi usulan bagi menggiatkan semula pusat bandar Singapura dan memelihara warisan negara termasuk bangunan NatSteel Steel Pavilion dan tapak lama Sekolah Inggeris Pasir Panjang.
Pelancaran itu menyusuli kempen penglibatan awam berskala besar yang diadakan sejak Oktober 2023, lapor The Straits Times (ST).
Menerusi kempen itu, URA mengumpul maklum balas daripada hampir 220,000 individu menerusi pameran, dialog, kumpulan fokus dan tinjauan.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata sesi penglibatan awam itu merupakan yang paling menyeluruh pernah dijalankan oleh URA, dan pameran tersebut telah menghimpunkan pelbagai idea yang dikemukakan orang ramai kepada satu “visi bersama” bagi tahun-tahun mendatang.
Semasa pelancaran di Pusat URA di Maxwell Road, Encik Chee berkata kediaman baru itu akan dibina di kawasan seperti Kranji, Dover dan Newton.
Sekurang-kurangnya 80,000 unit perumahan awam dan privet dijangka diperkenalkan di lebih 10 kawasan perumahan baru di seluruh pulau dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, di bawah Draf Pelan Induk 2025.
Kemudahan dan ruang riadah baru juga akan dibangunkan di kawasan kejiranan Dover-Medway yang bakal dibina berhampiran kawasan one-north serta institusi pendidikan seperti Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Politeknik Singapura (SP).
Fasa pertama akan memberi tumpuan kepada bahagian timur berhampiran stesen MRT one-north dan Kent Ridge dan dijangka boleh menampung pembinaan sekitar 6,000 unit kediaman awam dan privet.
Kerja pembangunan itu dijadualkan bermula pada November 2025 menerusi tapak Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) di Dover Road, yang boleh menampung pembangunan 625 unit apartmen privet.
Di Newton, sekitar 5,000 unit kediaman privet akan dibangunkan, dengan tumpuan kepada projek pelbagai guna berhampiran stesen MRT Newton dan Pusat Makanan Newton.
Kawasan Paterson pula dijangka menempatkan sekitar 1,000 unit kediaman privet, termasuk sebahagiannya dalam hab serba guna yang akan dibina di atas stesen MRT Orchard, lengkap dengan ruang runcit dan pejabat.
Sebuah bandar baru yang merangkumi kediaman awam dan privet juga akan dibangunkan di kawasan perusahaan Defu, selepas Pangkalan Udara Paya Lebar, dipindahkan pada 2030-an.
Menurut Encik Chee, pelan penggunaan tanah perlu sentiasa dikemas kini bagi menangani cabaran baru, termasuk memenuhi permintaan perumahan dan memperbaharui kawasan lama.
“Menangani cabaran ini memerlukan usaha bersama antara pemerintah, pihak berkepentingan dengan seluruh rakyat Singapura. Kita perlu berganding bahu membentuk masa depan bersama,” katanya.
Pameran Draf Pelan Induk 2025 berlangsung hingga 29 Nov di Pusat URA, dari Isnin hingga Sabtu, dan akan turut dibawa ke lokasi lain di seluruh negara, antara 2 Ogos dengan 9 November.
Maklumat lanjut boleh didapati di pautan, go.gov.sg/URADraftMasterPlan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg