Singapura akan melancarkan satu pelan induk baru bagi panduan pembangunan bandar dalam beberapa tahun akan datang apabila Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) memperkenalkan Draf Pelan Induk pada 25 Jun.
Mengumumkan tarikh pelancaran itu pada satu acara pada 29 Mei, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata para pengunjung pameran pelan itu akan dapat melihat “bagaimana kami merancang untuk mewujudkan sebuah kediaman yang selesa didiami, terangkum dan disayangi. Sebuah rumah yang kita semua banggakan”.
Encik Chee berkata demikian semasa merasmikan festival seni ‘i Light Singapore’ edisi ke-11, yang menampilkan 17 seni pemasangan lampu di Marina Bay, Raffles Place, Sungai Singapura dan South Beach.
Pelan Induk URA – salah satu daripada dua pelan pembangunan utama oleh pihak berkuasa pembangunan Singapura – merupakan dokumen berkanun bagi pembangunan negara bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, dan disemak setiap lima tahun.
Pelan itu memperincikan strategi umum daripada sebuah pelan pembangunan lain, Pelan Jangka Panjang, sebagai panduan dalam penggunaan tanah dan pembangunan hartanah.
Pelan Jangka Panjang, yang merangka hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 50 tahun dan seterusnya, disemak setiap 10 tahun, dengan edisi terakhir dilancarkan dalam satu pameran pada 2022.
Perundingan awam bagi pelan induk akan datang itu telah bermula sejak Oktober 2023.
Ia melibatkan perbincangan yang tertumpu pada empat tema utama, iaitu Membentuk Bandar Bahagia Yang Sihat, Memacu Pertumbuhan Mampan, Memperkukuh Ketahanan Bandar, dan Menjaga Alam Semula Jadi serta Warisan Kita.
Pembangunan semasa dipandu oleh Pelan Induk URA 2019, yang mula berkuat kuasa pada November 2019, lapor The Straits Times (ST).
Antara projek utama dalam pelan 2019 ialah Koridor Kereta Api, Daerah Digital Punggol dan Greater Southern Waterfront.
Berucap di Marina Bay, Encik Chee berkata perubahan kawasan itu merupakan bukti pelaksanaan yang teliti dalam perancangan jangka panjang Singapura.
Menyorot sejarah perancangan pembangunan bandar Singapura, Encik Chee berkata rancangan untuk kawasan itu telah dibangunkan pada 1970-an, apabila para pemimpin dan perancang perintis melihat keperluan mengembangkan pusat bandar Singapura bagi menyokong pertumbuhan negara sebagai hab perniagaan dan kewangan sejagat.
Penambakan tanah seluas 360 hektar bagi membentuk kawasan itu dilakukan antara 1970-an dengan 1990-an, dengan mercu tanda seperti Marina Bay Sands dan Bay South Garden di Gardens by the Bay dibina sepenuhnya di atas tanah yang ditambak.
Perubahan kawasan tersebut adalah “kisah visi mereka yang datang sebelum kita, yang berani bermimpi dan meletakkan asas bagi Singapura yang lebih baik”, kata Encik Chee.
Daya usaha eperti, ‘i Light Singapore’, mengumpulkan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan membantu memeriahkan ruang masyarakat ini, tambah Encik Chee, yang berkata festival itu meraikan aspirasi untuk masa depan yang mampan dan dikongsi bersama.
Beliau memberi contoh ‘Bridge of 1,000 Dreams’ (Jambatan Seribu Mimpi), sebuah seni pemasangan yang memaparkan seribu batang buluh bercahaya di Jambatan Cavenagh, sebagai lambang “impian serta harapan rakyat Singapura”.
Karya itu dihasilkan oleh Studio Toer, sebuah studio reka bentuk pelbagai disiplin dari Belanda, dan mengetengahkan motif Singapura hasil ciptaan studio reka bentuk tempatan, Binary Style.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg