Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelancaran Kempen Sinaran Hati distrim langsung buat julung kali

Sep 8, 2024 | 1:54 PM
Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng (tiga dari kiri), dan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Encik Najiib Sahib (empat dari kiri), melancarkan kempen Sinaran Hati 2024 di Celebfest 2024, yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura. Bersama mereka ialah Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Ameerali Abdeali (kiri), dan pengacara majlis pelancaran, Suhaimi Yusof, (dua dari kanan), serta benefisiari Sinaran Hati.
Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng (tiga dari kiri), dan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Encik Najiib Sahib (empat dari kiri), melancarkan kempen Sinaran Hati 2024 di Celebfest 2024, yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura. Bersama mereka ialah Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Ameerali Abdeali (kiri), dan pengacara majlis pelancaran, Suhaimi Yusof, (dua dari kanan), serta benefisiari Sinaran Hati. - Foto TAA

Buat julung-julung kalinya, Tabung Amal Aidilfitri (TAA) telah melancarkan kempen amalnya, Sinaran Hati, menerusi penstriman langsung di wadah media sosialnya termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Majlis pelancaran itu diadakan di Celebfest 2024, yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada 7 September.

Menurut TAA, kempen amal 2024 itu distrim secara langsung untuk menggalak orang ramai bukan sahaja untuk menderma di majlis itu tetapi juga menerusi dalam talian.

Edisi 2024 juga merupakan tahun kelapan TAA dilantik oleh penganjur Celebfest, Adi Media Pte Ltd, menjadi badan kebajikan rasmi bagi Celebfest.

Menurut TAA, matlamat Sinaran Hati 2024 adalah untuk mengumpul sebanyak $250,000 menjelang hari terakhir kempen iaitu 2 November.

Penderma boleh melayari portal www.taa.sg untuk menghulurkan sumbangan mereka menerusi PayNow, perbankan Internet atau kad kredit.

Pelancaran Sinaran Hati 2024 dirasmikan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.

Dr Tan turut mengambil bahagian dalam sesi podcast dipanggil Pot-Pet bersama Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Najiib Sahib.

Sesi itu, dikendalikan pengacara majlis, Suhaimi Yusof, menyentuh tentang pentingnya penderma korporat serta demografi warga emas yang merupakan benefisiari utama Sinaran Hati.

Kata Encik Najiib, sekitar 86 peratus benefisiari Sinaran Hati merupakan individu daripada keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita $500 dan ke bawah.

“Sekitar 76 peratus daripada penerima manfaat tinggal di flat sewa satu atau dua bilik.

“Lebih 80 peratus daripada mereka pula menganggur, manakala lebih 50 peratus daripada mereka merupakan warga emas,” kongsi Encik Najiib.

Bercakap tentang usaha mengurangkan pengangguran secara umumnya, Dr Tan turut menarik perhatian Garis Panduan Tiga Pihak bagi Pengaturan Kerja Fleksibel (TG-FWAR).

Dengan garis panduan itu, beliau berkata mereka yang sedang mencari pekerjaan, khususnya mereka yang juga memikul tanggungjawab menjaga anak atau anggota keluarga mereka yang lain, boleh terus melakukan demikian di samping keluar mencari rezeki dengan aturan kerja fleksibel dari segi lokasi, waktu bekerja dan sebagainya.

Dalam pada itu, Encik Najiib turut mengajak penderma Islam untuk menyumbang lebih banyak bukan hanya semasa Ramadan tetapi di masa lain juga.

Tambahnya, penderma korporat akan diberikan pelepasan cukai 2.5 kali ganda dan TAA berharap dapat mengumpul sebanyak $3.5 juta bagi 2024.

Mengulas tentang pentingnya penderma korporat, Dr Tan berkata:

“Asas setiap perusahaan dan perniagaan ialah tenaga manusia. Kita semua pemacu ekonomi, masyarakat dan kemajuan.

“Jika pada dasarnya, kita kekurangan empati, belas kasihan dan rasa kasih terhadap satu sama lain, maka tiada harapan.

“Oleh itu, di teras setiap perusahaan dan perniagaan ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR).”

Antara penderma korporat bagi Sinaran Hati 2024 ialah Maybank, yang menyumbang $10,000; pusat pakar produk dapur dan bilik mandi, Hoe Kee Hardware Pte Ltd ($10,000); dan rangkaian hotel mewah setempat, Banyan Tree ($5,000).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg