Sempena sambutan Celebfest 2024, Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan melancarkan kempen, Sinaran Hati 2024, pada 7 September, bertempat di Suntec Singapore, Dewan 403 dan 404.
Buat julung kali, pelancaran kempen, Sinaran Hati, akan dilakukan menerusi penstriman secara langsung dan diacarakan Suhaimi Yusof, yang akan menggalak orang ramai turut menyumbang derma pada acara tersebut serta secara online.
Orang ramai dapat menyaksikan pelancaran kempen itu melalui penstriman langsung di wadah media sosial TAA termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Majlis pelancaran itu akan dirasmikan oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Acara tersebut akan dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air dan dari seberang.
Sementara itu, selebriti, Khairudin Saharom, akan mengendalikan ceramah motivasi dengan panelis termasuk Suhaimi Yusof pada 7 September, 6 petang hingga 7 malam.
Selain itu, sepanjang program Celebfest, TAA juga menganjurkan segmen, Bicara Budi, pada 6 dan 8 September, 6.30 petang hingga 7 malam, yang akan dikelolakan oleh Duta TAA, Cef Mel Dean, dan Encik Mohd Anwar Tahar, usahawan yang juga pengasas syarikat, Pos TKI.
Buat kali pertama, pihak Celebfest akan menyediakan taman permainan kanak-kanak, Kids Wonderland, di lantai tiga Suntec Singapore. Ini membolehkan pengunjung yang datang bersama anak-anak, dapat membeli-belah, sementara anak-anak asyik bermain di situ.
Pada 2024. ia adalah tahun kelapan TAA dilantik oleh penganjur Celebfest, Adi Media Pte. Ltd, menjadi badan kebajikan rasmi untuk Celebfest, di Suntec Singapore.
Menurut Pengurus Besar TAA, Encik Mohd Yahya Zakaria Attia, kehadiran TAA sempena Celebfest dapat memberi peluang kepada TAA memperkenalkan usahanya kepada masyarakat, dengan badan itu telah membantu lebih 3,000 penerima, termasuk golongan asnaf dan mereka yang berada dalam keadaan terdesak.
Menurutnya, acara di Celebfest membuka peluang kepada orang ramai mengajukan pertanyaan dan mengenal lebih dekat lagi tujuan dan matlamat TAA.
Bagi memudahkan orang ramai menghulur derma, TAA telah menyediakan beberapa tabung di dewan Celebfest dan mereka yang menderma di reruai TAA akan mendapat sebuah beg istimewa dipenuhi produk tajaan sebuah syarikat barangan pengguna tersohor, Unilever.
“TAA amat berterima kasih kepada Adi Media yang memberi kepercayaan berterusan kepada TAA untuk bergandingan bersama Celebfest bagi menjayakan acara buat tahun kelapan,” ujar Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Najiib Sahib.
Tambahnya: “Dengan peluang yang diberikan, TAA akan mencuba sedaya upaya untuk memeriahkan acara Celebfest setiap kali ia diadakan dengan pengisian acara-acara di pentas dan perkongsian suasana sekitar acara melalui wadah digital.”
Cara menderma kepada TAA
1. Penderma boleh memilih menghulur bantuan melalui PayNow, perbankan Internet atau kad kredit.
2. Layari portal, www.TAA.sg untuk menghulurkan sumbangan anda.
3. Ikuti perkembangan TAA dalam membantu insan memerlukan di Instagram: taatrustfund, Facebook: TAA Trust Fund atau YouTube: TAA Trust Fund.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg