Pelancaran tren terbaru bagi Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL) kini selesai sepenuhnya, dengan yang terakhir daripada tren generasi ketujuh itu mula beroperasi mulai 30 September.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata dalam satu hantaran Facebook pada 30 September bahawa ia telah menyerahkan tren ke-106 daripada barisan Alstom Movia R151 kepada SMRT, yang mengendalikan NSEWL – laluan tren tertua dan paling banyak digunakan di Singapura.

LTA telah membeli 66 daripada 106 tren R151 dalam satu perjanjian bernilai $1.2 bilion pada 2018 untuk menggantikan tren Kawasaki Heavy Industries generasi pertama NSEWL, yang telah beroperasi sejak kedua-dua laluan MRT itu dibuka pada 1987.

Tren itu telah dilupuskan secara berperingkat daripada perkhidmatan, dengan tren terakhir daripada 66 tren generasi pertama itu beroperasi di NSEWL buat kali terakhir pada 26 September 2025.

Sebanyak 40 tren lagi, yang bernilai $337.8 juta, dibeli pada 2020 untuk menggantikan tren generasi kedua Siemens dan generasi ketiga Kawasaki-Nippon Sharyo, yang kini telah ditamatkan khidmatnya.

Tren R151 pertama mula beroperasi pada Jun 2023.

Sehingga Jun 2025, lebih separuh daripada tren R151 telah beroperasi, kata seorang jurucakap LTA kepada The Straits Times (ST) ketika itu.

Direka bentuk di Jerman, tren R151 baru dipasang di Changchun, China.

Ia mempunyai sistem pemantauan dan diagnostik terbina di dalamnya.

Sistem itu dapat mengesan kerosakan lebih awal serta menjejaki prestasi pelbagai bahagian tren dalam masa nyata. 

Setiap gerabak mempunyai ruang terbuka yang lebih besar untuk meningkatkan kapasiti penumpang sambil mengekalkan bilangan tempat duduk.

Peningkatan lain di dalam tren termasuk tingkap yang lebih luas dan tempat duduk bertengger, atau perch, bagi penumpang.

Selain R151, tiga lagi generasi tren, yang ditambah antara 2011 dengan 2018, turut beroperasi di NSEWL.

Tren itu dikeluarkan oleh Kawasaki Heavy Industries dan CSR Qingdao Sifang.

Kerja pembaharuan NSEWL bermula pada 2012.

Bernilai $2.6 bilion, kerja pembaikan itu merangkumi tren baru, sistem isyarat baru yang membolehkan tren beroperasi dengan selang masa lebih pendek, landasan kuasa yang dipertingkat untuk membekalkan elektrik kepada tren, serta sistem litar landasan yang mampu mengesan kerosakan landasan.

LTA berkata pada 2025 bahawa penambahbaikan itu telah meningkatkan keandalan NSEWL, yang diukur menerusi purata jarak kilometer antara kegagalan (MKBF) laluan-laluan tersebut, iaitu penanda aras keandalan yang digunakan untuk sistem tren bawah tanah di seluruh dunia.

MKBF menunjukkan jarak yang boleh dilalui sebuah tren sebelum berlaku kelewatan lebih lima minit.

Angka LTA itu dikira berdasarkan purata 12 bulan terkini. 

Tren MRT mencatatkan 2.88 juta MKBF antara September 2025 dengan Ogos 2026, kata LTA dalam laporan keandalan trennya yang terkini, yang dikeluarkan awal September.

Angka itu adalah hampir tiga kali ganda sasaran keandalan tren Singapura bagi keseluruhan rangkaian MRT iaitu 1 juta MKBF.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti