Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelanggan FairPrice boleh dapat baucar $6 bagi belanja $61, 6-16 Ogos
Pelanggan di semua cawangan FairPrice boleh mendapatkan baucar pemulangan $6 bagi setiap perbelanjaan $61 dalam satu resit dari 6 hingga 16 Ogos.
Promosi sempena sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-61 itu boleh didapati di semua cawangan FairPrice, FairPrice Finest, FairPrice Xtra dan Unity, umum FairPrice Group pada 6 Ogos.
Pelanggan boleh menerima maksimum tiga baucar bagi setiap transaksi.
Baucar tersebut boleh ditebus sehingga 31 Ogos, serta boleh digabungkan dan digunakan bersama baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), potongan harga kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas), serta diskaun warga emas (termasuk diskaun Generasi Perintis dan Merdeka).
Inisiatif ini bertujuan membantu rakyat Singapura menjimatkan perbelanjaan mereka sepanjang tempoh perayaan ini, kata kumpulan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FairPrice Group, Encik Vipul Chawla, berkata: “Pada saat kita berkumpul memperingati kemerdekaan negara, kami sedar tekanan kewangan yang terus dihadapi oleh banyak keluarga.
“Dengan memperkenalkan Baucar Pemulangan Hari Kebangsaan ini, kami ingin menyediakan penjimatan harian yang bermakna, dan memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa FairPrice Group kekal komited untuk memastikan barangan keperluan harian terus mampu dimiliki.”
FairPrice Group juga telah membekukan harga lebih 500 produk barang keperluan di pasar rayanya dari 1 Jun hingga 31 Ogos.
Barangan tersebut termasuk beras jenama FairPrice, minyak masak, telur, sayur, daging segar dan sejuk beku, susu, serta produk penjagaan warga emas dan bayi.
FairPrice sebelum ini telah membekukan harga 100 barangan keperluan harian pada April, sebelum meluaskan pembekuan harga tersebut kepada 300 barangan sehingga 31 Mei.
