Kumpulan FairPrice (FPG) akan membekukan harga lebih 500 produk keperluan di pasar rayanya dari 1 Jun hingga 31 Ogos, meningkat daripada 300 produk setakat ini.

Langkah itu diambil berikutan tekanan ekonomi yang masih berlarutan akibat gangguan rantaian bekalan sejagat yang berpunca daripada perang di Timur Tengah, menurut kumpulan tersebut dalam satu kenyataan pada 29 Mei.

Usaha tersebut merangkumi lebih banyak barangan keperluan dapur, termasuk beras jenama FairPrice, minyak masak, telur, sayur-sayuran, daging segar dan beku, susu serta produk penjagaan warga emas dan bayi.

FPG sebelum ini telah membekukan harga bagi 100 barangan keperluan harian pada April, sebelum memperluaskan langkah pembekuan harga itu kepada 300 produk sehingga 31 Mei.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FPG, Encik Vipul Chawla, berkata: “Tindakan pantas kami pada April membuktikan pembekuan harga berkesan dalam melindungi bajet isi rumah.

“Namun, menangani ketidaktentuan sejagat yang berpanjangan memerlukan komitmen lebih mendalam dan berterusan.

“Kami memperluaskan pembekuan harga kepada lebih 500 barangan keperluan harian kerana kestabilan harga merupakan bentuk sokongan terbaik yang dapat kami tawarkan kepada semua rakyat di Singapura.”

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, pula berkata:

“Dengan mengekalkan harga ini secara konsisten, keluarga dapat merancang perbelanjaan mereka dengan lebih baik dan mengurangkan kebimbangan.

“Menjaga kebajikan pekerja tidak berhenti di tempat kerja. Misi sosial NTUC dan FPG jelas.

“Tiada pekerja dan keluarga mereka harus menghadapi kenaikan kos sara hidup bersendirian, dan kami akan terus bersama mereka dalam menghadapi sebarang cabaran.”

Beberapa inisiatif bagi menyokong keperluan khusus warga emas dan golongan rentan dalam beberapa bulan akan datang juga akan diperkenalkan.

Seiring langkah pembekuan harga pada April lalu, FPG turut menggandakan diskaun mingguan bagi pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) Biru dan Jingga daripada 3 peratus kepada 6 peratus

Yuran perkhidmatan $3.99 juga dikecualikan bagi tempahan penghantaran dalam talian bagi pelanggan tersebut.

Diskaun untuk pemegang kad Chas itu dibiayai oleh Yayasan FairPrice.