Pelanggan di Tampines Mall diarah meninggalkan pusat beli-belah itu sekitar 9.30 malam pada 27 Disember menyusuli satu kebakaran di sebuah kedai di tingkat empat bangunan tersebut.
Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, keadaan berkabut jelas kelihatan di atrium pusat beli-belah itu ketika sistem penggera dibunyikan.
Antara pelanggan yang diminta meninggalkan pusat beli-belah itu oleh pegawai keselamatan ialah Encik Larry Hoo, 34 tahun.
Bercakap kepada The Straits Times (ST), Encik Hoo berkata beliau ternampak asap keluar dari X-Craft, sebuah kedai fesyen jalanan di tingkat empat.
Dalam video yang dikongsi bersama ST, pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat berdiri di luar kedai tersebut.
Seorang pekerja pusat beli-belah itu didapati menghalang akses ke tingkat empat dan meminta pelanggan keluar dari ruang tersebut.
Beliau enggan menjelaskan sama ada kebakaran itu berpunca dari kedai X-Craft.
Dua kenderaan SCDF dilihat meninggalkan kawasan Tampines Mall sekitar 9.45 malam, dengan pelanggan dan pekerja dilihat memasuki semula ke pusat beli-belah itu sekitar 9.50 malam.
SCDF berkata ia diberitahu tentang kebakaran tersebut sekitar 9.20 malam sambil menjelaskan bahawa kebakaran melibatkan soket elektrik dan wayar di sebuah unit di tingkat empat.
“Beberapa orang awam telah memadam api menggunakan dua alat pemadam api serbuk kering sebelum ketibaan SCDF di pusat beli-belah itu,” kata jurucakap tersebut.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Punca kebakaran sedang disiasat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg