Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berbesar hati dapat meneruskan tugasnya di Kementerian Kesihatan (MOH) selepas peralihan kepimpinan baru-baru ini.
Mengulas tentang Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa satu sesi dialog pada 18 Mei, Encik Ong berkata kerja-kerja yang sedang dilakukan kementeriannya tidak pernah dilakukan sebelum ini dan beliau berharap dapat meneruskan usaha tersebut.
“Besar harapan saya walaupun berlaku peralihan (kepimpinan), saya harap saya masih boleh meneruskan peranan di MOH kerana kerja-kerja yang kami laksanakan tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“SG Lebih Sihat, penjagaan paliatif, pembangunan prasarana, menambah tenaga kerja dan banyak perubahan besar yang sedang kami usahakan. Itu belum termasuk isu utama seperti kemajuan perubatan, kemajuan teknologi, perubatan ketepatan yang mana kita mesti mendakapnya dan menggunakannya dalam sistem kita,” kata beliau.
Encik Ong menambah bahawa penjagaan kesihatan sedang melalui satu revolusi.
Oleh itu, terdapat keperluan untuk mempunyai pasukan yang baik supaya dapat bersama-sama mengharungi segala perubahan yang sedang berlaku.
“Jadi saya sangat gembira dapat terus berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan, bahkan, ia merupakan hasrat utama saya dan saya berharap kita dapat terus bekerjasama,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg