Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai kegiatan raikan ilmu untuk semua di kejiranan

Bergambar di set podcast BH, belajar mengenai AI dan terbang pesawat di alam maya di Raikan Ilmu@ Heartlands
Jul 12, 2025 | 5:05 PM
Seorang pengunjung muda ke reruai Aeroaviation di Raikan Ilmu @Heartlands cuba menerbangkan pesawat menggunakan mesin simulator.
Seorang pengunjung muda ke reruai Aeroaviation di Raikan Ilmu @Heartlands cuba menerbangkan pesawat menggunakan mesin simulator. - Foto BM oleh MOHD KHALID BABA

Bukan kanak-kanak sahaja, bahkan ibu bapa kelihatan turut ikut serta dan berseronok mengunjungi pelbagai reruai pada hari pertama acara Raikan Ilmu @Heartlands di Our Tampines Hub pada 12 Julai.

Seorang pengunjung muda, Muhammad Firas Amsyar Badaruddin, 11 tahun, yang juga peserta Skim Tuisyen Mendaki berkata melawat reruai sekolah penerbangan Aeroaviation mencetus minatnya dalam bidang penerbangan.

Pameran Aeroaviation memaparkan teknologi maya (VR) dan teknologi terimbuh (AR) yang memperkukuh minatnya terhadap bidang penerbangan, katanya.

Memuji usaha Raikan Ilmu, ibunya, Cik Hilwa Abdul Hamid, 39 tahun, seorang penjawat awam, akui bahawa wadah seperti ini penting untuk mendedahkan anak-anak kepada industri dan pekerjaan berbeza pada peringkat awal lagi.

Di reruai Berita Harian (BH), antara lain, pengunjung boleh mencuba bakat sebagai hos podcast #notapis, mengambil gambar untuk muka depan BH - yang akan dikirimkan kepada pengunjung melalui e-mel atau wadah AirDrop - serta mencuba aplikasi (app) BH yang diperbarui dan kini menawarkan alat penterjemahan bahasa kepada pembaca yang ingin membaca artikel dalam bahasa Inggeris.

Suri rumah, Cik Mardiana Idrus, 40 tahun (kiri) bergambar di set podcast #notapis dengan Cik Siti Hajar Zainuddin, mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang sedang menjalani program kenal suai kerja di Berita Harian.
Suri rumah, Cik Mardiana Idrus, 40 tahun (kiri) bergambar di set podcast #notapis dengan Cik Siti Hajar Zainuddin, mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang sedang menjalani program kenal suai kerja di Berita Harian. - Foto BM oleh SITI AISYAH NORDIN

Ibu bapa dan pengunjung lebih muda juga berpeluang meneroka kandungan menarik dan pelbagai kegiatan seperti teka-teki, kraf dan melukis yang disampaikan dalam akhbar Gen G dan Cilik Cerdik.

Diterbitkan oleh BH, Gen G merupakan akhbar khas untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, manakala Cilik Cerdik ialah majalah khas untuk untuk kanak-kanak prasekolah

Pengunjung juga berpeluang menerima beg jinjing BH dan belon jika mereka mengisi tinjauan ringkas serta mengikuti saluran Telegram dan WhatsApp BH.

BH mengendalikan reruai di dua lokasi – Our Tampines Hub pada 12 dan 13 Julai; serta di Northpoint City pada 27 Julai sepanjang acara ‘Raikan Ilmu@Heartlands’.

Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin, bergambar bersama kanak-kanak yang berkunjung ke reruai BH di Our Tampines Hub pada 12 Julai.
Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin, bergambar bersama kanak-kanak yang berkunjung ke reruai BH di Our Tampines Hub pada 12 Julai. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Pesta Raikan Ilmu@Heartlands yang dianjurkan Yayasan Mendaki sempena kempen Raikan Ilmu pada Julai ini merangkumi lebih 100 aktiviti anjuran bersama lebih 60 rakan kongsi nasional, masyarakat dan korporat. 

Penolong Pengarah Kumpulan Pendekatan Masyarakat Mendaki, Encik Nur Rahimi Mohamed Azmi berkata sambutan tahun ini kelihatan menggalakkan.

“Orang ramai boleh sertai pelbagai aktiviti menarik seperti robotik, dron dan AR, bengkel drama, dikir barat dan buat “beeswax wrap” serta bermacam lagi. Semuanya percuma!

“Kami harap aktiviti-aktiviti ini dapat beri pendedahan kepada teknologi dan kemahiran moden serta pupuk semangat belajar sepanjang hayat dalam masyarakat kita,” katanya.

Pelbagai reruai yang mewakili bidang tumpuan berbeza ditawarkan untuk pengunjung ke acara Raikan Ilmu @Heartlands di Our Tampines Hub.
Pelbagai reruai yang mewakili bidang tumpuan berbeza ditawarkan untuk pengunjung ke acara Raikan Ilmu @Heartlands di Our Tampines Hub. - Foto BH oleh SITI AISYAH NORDIN

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad berkata beliau berbesar hati melihat kanak-kanak dan ibu bapa sama-sama terlibat dalam kegiatan yang diadakan.

Ini menunjukkan bahawa pembelajaran bukan sahaja di dalam sekolah, bahkan ibu bapa memainkan peranan dalam pembangunan anak, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg