Berita Harian (BH) berperanan menyampaikan pengetahuan dan berita kepada anak-anak muda dengan cara yang sesuai dengan cita rasa mereka, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Sebagai contoh, beliau berkata BH telah memperluas wadah yang disampaikan kepada masyarakat, termasuk dalam bentuk digital seperti podcast dan video.
Encik Zaqy yang dilantik sebagai pengerusi Yayasan Mendaki sejak Mei 2025, berkata demikian selepas mengunjungi reruai BH di acara ‘Raikan Ilmu@Heartlands’ anjuran Mendaki di Our Tampines Hub pada 12 Julai.
Encik Zaqy berkata: “Saya lihat pamerannya kelihatan mesra buat masyarakat, terutama sekali anak-anak. Mereka dapat lihat format podcast, digital, dan ini boleh membawa anak-anak kita memahami konsep media... apa kepentingan media kepada masyarakat, bagaimana BH dapat memainkan peranan untuk membawa pendidikan dalam format yang seronok supaya mereka boleh mencintai pendidikan dan pelajaran.”
Turut menyertai Encik Zaqy di acara itu ialah Anggota Parlimen, Encik Sharael Taha, Cik Hazlina Abdul Halim, Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan Dr Charlene Chen.
Antara lain pengunjung ke reruai BH boleh duduk dan berinteraksi dengan wartawan di set podcast #NoTapis, mengambil gambar untuk diterbitkan di muka depan BH dan mencuba aplikasi (app) BH yang diperbarui dengan ciri-ciri rumusan berita dan alat penterjemahan bahasa menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ibu bapa juga diperkenalkan kepada akhbar khas untuk kanak-kanak iaitu Gen G dan Cilik Cerdik.
Cik Nur Zahariah Abdul Gani, 35 tahun, yang datang bersama dua anak berusia enam dan 10 tahun ke reruai BH akur cabaran memupuk minat membaca berita, terutamanya dalam bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak muda dan melahirkan harapan BH dapat teruskan usaha mendekati masyarakat.
“Gen G merupakan wadah baik untuk anak-anak. Saya sendiri pernah membacanya, dan bahasa Melayu yang digunakan lebih mudah difahami. Lagipun ada permainan di dalam penerbitan itu seperti ‘crossword puzzle’, yang mendorong anak-anak untuk mempelajari perkataan baru,” tambahnya.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar meluahkan rasa teruja dengan sambutan yang diberikan oleh pengunjung ke reruai BH.
“Lebih menggembirakan mereka datang daripada pelbagai lapisan usia dan kaum. Saya harap mereka dapat meraih sedikit pengetahuan tentang bidang kewartawanan khususnya proses transformasi kami menjadi bilik berita digital. Tentunya, sambutan ghairah ini akan mendorong kami untuk mengadakan lebih banyak program seperti ini dalam usaha kami mendekati masyarakat,” kata beliau.
Di sepanjang bulan ‘Raikan Ilmu@Heartlands’, BH mengendalikan reruai di dua lokasi – Our Tampines Hub pada 12 dan 13 Julai; serta di Northpoint City pada 27 Julai.
Pesta Raikan Ilmu@Heartlands oleh Mendaki terdiri daripada lebih 100 aktiviti anjuran bersama lebih 60 rakan kongsi nasional, masyarakat dan korporat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg