Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kiosk automatik dilancar di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands

Jun 14, 2023 | 5:04 PM
KIOSK AUTOMATIK: Kiosk automatik baru yang telah dipasang di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands sejak Mac telah mempercepatkan pelepasan imigresen.
KIOSK AUTOMATIK: Kiosk automatik baru yang telah dipasang di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands sejak Mac telah mempercepatkan pelepasan imigresen. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Sebanyak 10 kiosk baru yang dipasang di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) sejak Mac, telah mempercepatkan pelepasan imigresen dan meningkatkan kapasitinya, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Kios automatik itu, yang menggantikan empat kaunter manual yang ada sebelum ini, serupa dengan laluan pelepasan imigresen dengan kaunter automatik. Ia diatur secara berkelompok bagi memaksimumkan ruang dan boleh digunakan bagi pelepasan kedua-dua penumpang yang keluar dari Singapura dan tiba ke negara ini.

Para individu yang layak boleh mengimbas pasport mereka di kaunter itu untuk melakukan pelepasan imigresen sendiri dalam masa kira–kira 24 saat, berbanding 45 saat di kaunter manual. Setiap ukuran kiosk adalah kira-kira separuh saiz ATM,

Untuk menggunakan kiosk automatik, individu hanya perlu berdiri di hadapan pintu masuk ruang kios dan membuat imbasan muka untuk masuk.

PINTU MASUK KELOMPOK: Individu perlu melihat pengimbas muka biometrik sebelum boleh masuk kelompok untuk menggunakan kiosk automatik.
PINTU MASUK KELOMPOK: Individu perlu melihat pengimbas muka biometrik sebelum boleh masuk kelompok untuk menggunakan kiosk automatik. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Selepas berjaya memasuki ruang, individu hanya perlu meletakkan pasport mereka di kiosk untuk mengesahkan identiti mereka. Setelah identiti disahkan, individu dikehendaki melihat pengimbas mata biometrik di bahagian atas kiosk.

IMBAS PASPORT: Individu hanya perlu mengimbas pasport bagi pengesahan identiti sebelum boleh melepas imigresen menggunakan kiosk automatik.
IMBAS PASPORT: Individu hanya perlu mengimbas pasport bagi pengesahan identiti sebelum boleh melepas imigresen menggunakan kiosk automatik. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Proses pelepasan imigresen selesai apabila paparan kiosk menunjukkan tanda semak hijau dan mesej “Sila Keluar”.

Warga Singapura, pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek yang sebelum ini telah mendaftar di bawah Inisiatif Kelulusan Masuk Automasi (ACI) layak menggunakan kiosk automatik untuk melakukan pelepasan imigresen sendiri.

Pelawat jangka pendek yang masih belum mendaftar di bawah ACI, dan keluarga dengan kanak–kanak di bawah umur enam tahun, perlu terus menggunakan kaunter manual untuk pelepasan imigresen.

Timbalan Komander Pusat Pemeriksaan Woodlands, Superintenden Tong Weijie berkata: “Perlaksanaan kiosk automatik telah memberikan pengalaman pelepasan yang lebih cepat kepada penumpang kereta api.

“Kiosk automatik juga membolehkan ICA menempatkan semula beberapa pegawai ke kawasan yang memerlukan lebih banyak tenaga manusia.”

Superintenden Tong menambah bahawa adalah mustahil untuk memasang lorong automatik tambahan di WTCP oleh kerana “kekangan ruang”. Justeru kiosk automatik, yang tidak memakan ruang fizikal yang besar, membantu menangani isu ini.

Apabila ditanya sama ada ICA bercadang untuk melaksanakan kiosk automatik di pusat pemeriksaan lain, Superintenden Tong berkata:

“Kita tidak mempunyai rancangan sebegitu setakat ini, tetapi sekiranya kami menerima maklum balas baik, kami mungkin akan memperluaskan penggunaan kiosk automatik di pusat pemeriksaan lain.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg