Jika sebelum ini penumpang feri mengambil masa purata 20 minit untuk ke pintu berlepas di Terminal Feri Tanah Merah, kini tempohnya hanya lima minit ekoran kerja naik taraf sebanyak $20 juta, yang menyaksikan lapan lagi laluan pelepasan imigresen ditambah di terminal tersebut.
Dirasmikan pada 22 Mac oleh Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, kerja naik taraf selama setahun itu telah meningkatkan kecekapan dengan kios daftar masuk sendiri, penyerahan beg automatik dan lorong imigresen tanpa pasport.
Menurut laporan The Straits Times, Pusat Pelayaran Singapura (SCC), yang menguruskan terminal tersebut, menjangkakan sehingga 70 peratus penumpang feri melakukan daftar masuk sendiri di 15 kios baru, yang boleh digunakan sepenuhnya menjelang pertengahan 2025.
Meskipun penumpang masih boleh membeli tiket, mengambil pas masuk dan mendaftar masuk di kaunter pengendali feri yang telah diubah suai, namun mereka yang membuat tempahan awal tidak perlu beratur.
Sama seperti prosedur lapangan terbang, penumpang boleh mengimbas pasport mereka di kios dan mencetak kedua-dua pas masuk serta tag bagasi.
Mereka kemudian boleh meletakkan beg di enam kaunter penyerahan beg, penambahan daripada empat sebelum ini.
Beg yang didaftar masuk akan melalui pengimbas x-ray sebelum pengangkut bagasi memindahkannya ke dalam sangkar dan memuatkannya ke dalam feri.
Penduduk Singapura yang tiba dan berlepas, dan semua pelancong asing yang berlepas, boleh melepasi pemeriksaan imigresen dengan menggunakan biometrik muka dan iris tanpa mengemukakan pasport mereka.
Ini mempercepatkan pelepasan sebanyak 60 peratus, mengurangkan masa pemprosesan kepada kira-kira 10 saat.
Bagaimanapun, pelancong masih perlu membawa pasport mereka untuk pengesahan.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) juga telah meningkatkan kapasiti pelepasan imigresen sebanyak 50 peratus dengan menambah lorong ketibaan daripada 12 kepada 26, dan lorong berlepas daripada 12 kepada 20.
Dewan berlepas kini 70 peratus lebih besar dan boleh memuatkan lebih 200 penumpang.
Encik Pillai menyifatkan peningkatan itu sebagai satu peristiwa penting dalam mengukuhkan hubungan antara Singapura, Johor dengan Kepulauan Riau.
“Saya gembira kerana lebih ramai penumpang kini boleh menikmati kemudahan yang dinaik taraf.
“Penambahbaikan ini akan meningkatkan pengalaman perjalanan di Terminal dan menyokong lebih banyak kerjasama ekonomi serantau pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Terminal tersebut juga menyediakan lebih banyak pilihan tempat makan, seperti Subway, Luckin Coffee, Lepak Corner dan Woon’s by Killiney, cawangan pertamanya yang disahkan halal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg