Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelitup muka, air minuman disediakan di konsert BigBang susulan keadaan jerebu
Pelitup muka, air minuman disediakan di konsert BigBang susulan keadaan jerebu
Kemudahan mendapatkan air minuman, pelitup muka dan bantuan kecemasan akan disediakan di Stadium Nasional Singapura sebagai persiapan menjelang konsert Kumpulan K-pop BigBang pada hujung minggu ini.
Menurut notis terkini Instagram penganjur konsert AEG Presents Asia hari ini, langkah itu diambil ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam kekal pada paras sangat tidak sihat di beberapa kawasan di Singapura.
BigBang dijadualkan membuat persembahan pada 17 dan 18 Oktober sebagai sebahagian daripada jelajah konsert selepas kembali bersatu.
Penganjur menggesa penonton menyemak maklumat terkini mengenai mutu udara sebelum menuju ke tapak konsert. Mereka turut menekankan agar penonton segera mendapatkan rawatan perubatan jika tidak sihat.
“Keselamatan dan kesejahteraan anda menjadi keutamaan kami,” kata AEG Presents Asia.
Langkah itu turut menyusuli notis terdahulu oleh pengendali stadium, The Kallang, bahawa semua kegiatan di dalam dan luar Stadium Nasional akan digantung sekiranya bacaan PSI 24 jam melebihi 300.