Pelitup N95 atau yang serupa boleh dibeli di semua cawangan FairPrice serta farmasi seperti Guardian, Unity dan Watsons, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada 20 Oktober, sedang Singapura masih bergelut dengan keadaan berjerebu.

Dalam jawapan kepada media, MOH berkata ia juga bekerjasama dengan rangkaian pasar raya Cold Storage, Giant dan Sheng Siong supaya pelitup N95 atau yang serupa dapat dibeli secara berperingkat di semua cawangan mereka menjelang hujung minggu ini.

Singapura kini mengalami hari ke-17 udara tidak sihat, melepasi tempoh 14 hari semasa krisis jerebu 2015, apabila udara buruk berterusan dari 23 September hingga 7 Oktober.

Pelitup N95 laris dijual sejak seminggu lalu. Peruncit melaporkan peningkatan mendadak permintaan bagi pelitup yang direka untuk menapis zarah halus di udara, seperti N95, KN95 dan KF94.

MOH berkata ia sedar sesetengah orang bimbang tentang bekalan pelitup sedemikian.

Kementerian itu berkata pemeriksaannya menunjukkan peruncit dan farmasi runcit mempunyai bekalan yang mencukupi di gudang mereka, walaupun sesetengah kedai mungkin kehabisan stok buat sementara waktu ketika menambah bekalan.

“Kami ingin menenangkan orang ramai bahawa MOH menyimpan stok simpanan pelitup N95 (atau yang serupa) dan telah mengeluarkannya untuk membantu peruncit menangani permintaan,” katanya.

MOH menggesa orang ramai membeli pelitup secukupnya untuk kegunaan sendiri sahaja bagi mengelakkan pembaziran.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dalam satu hantaran Facebook pada 20 Oktober, sekitar 9.40 malam, berkata peruncit sedang mempertingkat penghantaran untuk menambah stok dengan cepat.

FairPrice, misalnya, baru sahaja mengambil stok daripada simpanan nasional MOH, katanya.

Cik Fu mengunjungi gudang FairPrice pada 19 Oktober untuk berbual dengan pasukan dan melihat bagaimana mereka menambah bekalan.

“Saya menggalakkan semua orang membeli apa yang diperlukan sahaja. Pelitup boleh digunakan semula selagi tidak kotor, lembap, rosak atau berubah bentuk,” katanya.

Pelitup KN95, KF94 dan FFP2 sama berkesan seperti pelitup N95 dalam mengurangkan pendedahan kepada zarah jerebu, tambah beliau.

Pelitup N95 melekap rapat pada muka dan boleh menapis 95 peratus zarah halus yang bersaiz 0.1 hingga 0.3 mikrometer. 

Pelitup sedemikian memenuhi piawaian yang ditetapkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Nama pelitup yang berbeza itu hanya menunjukkan piawaian negara masing-masing.