Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelopor perancangan bandar, Alan Choe, meninggal dunia

May 28, 2024 | 6:51 PM
Encik Alan Choe, bapa pembangunan bandar di Singapura telah meninggal dunia pada 27 Mei pada usia 93 tahun.
Encik Alan Choe, bapa pembangunan bandar di Singapura telah meninggal dunia pada 27 Mei pada usia 93 tahun. - Foto ZAOBAO

Pelopor perancangan bandar, Encik Alan Choe, yang merupakan arkitek-perancang pertama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan pengasas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), meninggal dunia pada 27 Mei pada usia 93 tahun.

Encik Alan Choe memainkan peranan penting dalam meletakkan asas bagi pembangunan bandar negara, program pemuliharaan warisan, serta menjadikan Sentosa sebagai destinasi percutian dan kediaman.

Rakan kerja serta pengganti beliau menyifatkan Encik Choe sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, bapa pembangunan bandar di Singapura dan seorang lelaki ‘urban’ sejati.

Dilahirkan pada 6 Mac 1931, Encik Choe bersekolah di Sekolah Pearl’s Hill dan Institusi Raffles sebelum menyambung pengajian tingginya di Australia, di mana beliau mengkaji ilmu seni bina, serta perancangan bandar dan serantau.

Beliau bekerja di sebuah firma arkitek di Australia dan Singapura sebelum direkrut HDB pada 1960 ketika usianya 29 tahun.

Dalam temu bual bersama The Straits Times pada 2014, Encik Choe berkata beliau diburu oleh HDB untuk menjadi perancang arkitek pertama mereka, peranan yang dicipta khas untuknya.

Tugasan pertamanya adalah untuk menyelesaikan pembangunan Queestown – bandar satelit pertama di Singapura – yang dimulakan oleh Badan Pengamanah Pembangunan Singapura (SIT) pada tahun 1950-an.

HDB memadatkan kawasan perumahan sebanyak 500 orang setiap ekar, satu kenaikan daripada 50 hingga 100 ekar yang menjadi kebiasaan pada masyarakat Barat. Perkara ini mengejutkan Encik Choe tetapi beliau meneruskan dan menyiapkan kawasan kejiranan yang selebihnya.

Dari tahun 1964, Encik Choe mengetuai Unit Pembaharuan Bandar HDB – pelopor URA yang ditubuhkan secara rasmi pada 1974.

Peranan beliau adalah untuk mengawasi usaha pembaharuan bandar untuk kawasan Central dan menangani masalah kekurangan perumahan.

Beliau mempelajari tentang pembaharuan bandar semasa lawatan ke luar negara dan mengenal pasti keperluan Singapura untuk melindungi sebahagian daripada seni bina warisannya.

“Saya melihat mereka benar-benar meruntuhkan setiap bahagian lama bandar itu demi untuk pembaharuan bandar. Dan saya lihat di Singapura, kita mempunyai lebih banyak sebab untuk memeliharanya kerana kita mempunyai begitu sedikit,” katanya.

Pada 1967, Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Kuan Yew menanyakannya sama ada beliau telah memasukkan inisiatif pemuliharaan dalam rancangan pembaharuan bandarnya. Encik Choe mencadangkan untuk memelihara antara kawasan lain, Chinatown dan Little India.

Encik Lee memuji Encik Choe dalam sepucuk surat pada 3 Jun 1967 bahawa beliau jarang mendapat respon daripada seseorang yang telah memikirkan sebuah masalah dan mencari penyelesaiannya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Encik Choe kerana menjaga sensitiviti dalam pembaharuan bandar dan memelihara sejarah.

Encik Choe dan perintis yang lain telah menghasilkan kawasan pemuliharaan pertama Singapura yang diwartakan pada 1989. Ini termasuk 3,200 bangunan di kawasan seperti Clarke Quay dan Emerald Hill.

Lebih daripada 7,200 bangunan sudah dipulihara hari ini.

Encik Choe juga terlibat bersama Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) sebagai ahli lembaga dari 1972 dan 1977, timbalan pengerusi dari 1977 hingga 1985, dan pengerusi dari 1985 hingga 2001.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg