Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kontraktor HDB perlu guna AI pastikan keselamatan di tapak kerja

May 27, 2024 | 5:53 PM
Makluman akan dihantar dengan segera ke telefon bimbit penyelia keselamatan tapak jika sistem kecerdasan buatan (AI) mengenal pasti tingkah laku yang mempunyai risiko menimbulkan bahaya, sekali gus mendorong penyelia itu mengambil tindakan pantas dan menyelesaikan isu tersebut.
Makluman akan dihantar dengan segera ke telefon bimbit penyelia keselamatan tapak jika sistem kecerdasan buatan (AI) mengenal pasti tingkah laku yang mempunyai risiko menimbulkan bahaya, sekali gus mendorong penyelia itu mengambil tindakan pantas dan menyelesaikan isu tersebut. - Foto AILYTICS

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah sejauh ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis video untuk pemeriksaan keselamatan tapak kerja di 22 projek perumahan baru yang ditender mulai Januari 2023.

Selain itu, kontraktor bagi 30 projek perumahan HDB baru yang telah ditender untuk pembinaan sebelum Januari 2023 dikehendaki menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan pemeriksaan keselamatan manual di tapak kerja itu.

HDB berkata pada 27 Mei bahawa sejak Januari 2023, ia memerlukan semua kontraktor yang membuat tender bagi pembinaan projek perumahan HDB baru meningkatkan pemeriksaan keselamatan tapak kerja manual dengan automasi, menggunakan teknologi AI dan analitik video.

Ia sebahagian usaha HDB meningkatkan keselamatan pekerja di tapak binaan, jelasnya.

“Penggunaan awal AI dalam analitik video untuk pengawasan keselamatan HDB... telah membantu membina keupayaan dan pengalaman kontraktor semasa mereka mengusahakan projek kami.

“Ia juga telah meluaskan pasaran bagi lebih ramai pemain industri menyertainya, yang berpotensi menghasilkan harga lebih kompetitif untuk keupayaan pengawasan video tersebut,” kata HDB.

Menurut pihak berkuasa tersebut, terdapat banyak manfaat dalam menggunakan AI untuk melengkapkan pemeriksaan keselamatan manual.

Ini kerana AI membolehkan pemantauan berterusan dalam masa nyata perkara yang berpotensi menimbulkan bahaya keselamatan, selain secara automatik mengesan situasi berisiko tinggi tertentu di tapak pembinaan.

Pegawai keselamatan juga dapat memantau tapak binaan berbeza pada setiap saat, mengurus secara serentak kawasan yang lebih luas di tapak binaan dan mengurangkan risiko piawaian keselamatan yang tidak konsisten dalam kalangan pegawai keselamatan.

Semua ini dapat menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti.

HDB menjelaskan bahawa bagi tapak binaan di mana berlaku pembinaan tingkat bangunan yang memerlukan penggunaan kren untuk kerja-kerja pengangkatan, kamera litar tertutup (CCTV) dipasang pada kren-kren tersebut untuk memantau kemajuan kerja yang sedang dijalankan.

“Dengan menyepadukan rakaman CCTV di tapak binaan dengan sistem AI, algoritma AI akan mengesan pelbagai elemen dalam rakaman CCTV... dan secara automatik mengenal pasti tingkah laku yang berpotensi tidak selamat serta keadaan di tapak pembinaan HDB dalam masa nyata.

“Makluman akan dihantar dengan segera ke telefon bimbit penyelia keselamatan tapak, mendorong penyelia itu untuk mengambil tindakan pantas dan menyelesaikan isu tersebut.

“Gambar situasi di tapak binaan dengan lokasi dan masa berlakunya kejadian tersebut juga akan dihantar, membolehkan penyelia melihat apa yang berlaku dari lokasi terpencil,” ulas HDB.

HDB berkata inisiatif meningkatkan keselamatan pembinaan di tapak kerja menggunakan AI dan analitik video itu melengkapkan prosedur keselamatan lain yang telah disediakan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja.

HDB menambah bahawa ia akan terus bekerjasama rapat dengan semua rakan industri untuk mengukuhkan budaya dan amalan keselamatan di tempat kerja di semua tapak kerja HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg