Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang tabur bakti dorong pegawai SCDF jadi Adikung Kehormat

May 26, 2025 | 9:24 PM
Timbalan Komander Unit di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Mejar (MAJ) Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NS) Muhammed Saufi Abdul Rashid, merupakan salah seorang daripada 112 Adikung Kehormat (HADC) yang dilantik Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa Upacara Pelantikan dan Makan Malam ADC di ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 26 Mei.
Timbalan Komander Unit di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Mejar (MAJ) Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NS) Muhammed Saufi Abdul Rashid, merupakan salah seorang daripada 112 Adikung Kehormat (HADC) yang dilantik Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa Upacara Pelantikan dan Makan Malam ADC di ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 26 Mei. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebagai Adikung Kehormat (HADC), Mejar (MAJ) Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NS) Muhammed Saufi Abdul Rashid, perlu sentiasa pantas bertindak, di samping menjadi sebahagian individu yang terlibat dalam acara bersejarah di Singapura.

Beliau menukil upacara angkat sumpah Perdana Menteri kelima, Encik Lawrence Wong, sebagai salah satu acara bersejarah yang beliau terlibat sama, dengan MAJ (NS) Saufi ditugaskan menjaga kemaslahatan pemimpin dan menteri yang menghadiri upacara itu di pekarangan terbuka Istana pada Mei 2024.

Timbalan Komander Unit di Unit Penyelamat 31 (31 RU) bagi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) itu, berkata:

“Cuaca memainkan peranan penting (pada acara tersebut) kerana ia diadakan di ruang terbuka.

“Saya dan pasukan perlu memutuskan serta-merta sama ada untuk bertindak… mengerahkan menteri dan pemimpin masuk (ke ruang berbumbung) bagi mengambil teduh atau sebaliknya.”

Beliau berkongsi demikian kepada Berita Harian (BH) sebelum Upacara Pelantikan dan Makan Malam ADC di ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 26 Mei.

Upacara tersebut, yang dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam, menyaksikan MAJ (NS) Saufi dilantik semula sebagai salah seorang daripada 112 adikung kehormat – 24 daripadanya baru – setelah kali pertama dilantik pada 2021.

Upacara yang biasanya diadakan di Istana, dikendalikan pula di ibu pejabat Mindef memandangkan kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan di bangunan utama Istana sejak separuh kedua 2024 dan dijangka selesai pada 2027.

Ketika berucap, Tuan Presiden berkata sungguhpun peranan HADC unik, ia sangat bermakna.

Ini memandangkan anggota HADC berkhidmat secara sukarela dan berperanan membantu dalam acara rasmi yang dianjurkan oleh pejabat Presiden.

Apatah lagi dengan kepelbagaian latar belakang dan pengalaman anggota HADC, ini “menambah nilai” kepada Kor HADC dan Pejabat Presiden, memandangkan mereka mempunyai pekerjaan sepenuh masa di luar, selain Adikung Kehormat, tambah Tuan Presiden.

Secara khusus, Tuan Presiden menukil MAJ (NS) Saufi, 37 tahun, sebagai contoh individu yang “bersemangat kental dan ingin berdaya maju”, katanya, memandangkan pegawai SCDF itu merupakan lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebelum mengambil Diploma di Politeknik Temasek dan terus mempertingkatkan diri.

Semangat kental inilah yang mendorong MAJ (NS) Saufi terus berkhidmat sejak mula dilantik HADC pada 2021, kata beliau.

Ini sungguhpun bapa tiga anak berusia antara enam bulan dengan enam tahun itu mempunyai pekerjaan sepenuh masa sebagai pakar teknisyen bagi peralatan teknikal di Medtronic, selain Naib Presiden Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi Melayu (4PM).

Beliau menjelaskan ketiga-tiga jawatan yang digalasnya itu menyemai sifat disiplin tinggi dalam diri dan mengajar kepentingan untuk kekal tenang apabila berhadapan dengan tekanan.

Malah, peluang menjadi HADC adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan kerana ia sukar diperolehi.

“(Peranan ini) sesuatu yang benar-benar berharga buat saya.

“Ada yang mempersoalkan jika peranan (sebagai HADC) sekadar buang masa tetapi itu bukan hakikatnya kerana ini adalah satu peluang (untuk berkhidmat dan menyumbang kembali),” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg